Orang Asli Tasik Cunex terus diganggu pembalak
Iklan
KETEGANGAN di hutan sekitar Kampung Tasik Cunex di Gerik, Perak masih belum reda. Masyarakat Orang Asli Temiar dan syarikat pembalakan sekali lagi bertelagah selepas kerajaan negeri merobohkan sekatan minggu lalu.
Khamis lalu, penduduk Orang Asli bersama seorang penyelidik dari Sahabat Alam Malaysia (SAM) bertikam lidah dengan tiga pembalak dari syarikat pembalak yang beroperasi di kawasan itu.
Kumpulan Orang Asli berkata kedatangan pembalak ke kampung itu bertujuan untuk mengganggu penduduk.
Menurut penyelidik SAM, Meor Razak Meor Abdul salah seorang pembalak sengaja mencetuskan kemarahan penduduk kampung dengan mendakwa penduduk kampung tidak berhak menuntut tanah yang diduduki sejak berabad lamanya itu sebagai tanah adat.
Pembalak itu mendakwa tanah adat tidak wujud, kata Meor Razak yang menceritakan tentang kejadian itu kepada The Malaysian Insight.
Ini menyebabkan penduduk kampung Orang Asli marah dan bertegang urat dengan pembalak itu, katanya.
Pembalak berkenaan juga memberi alasan bahawa masih terdapat banyak pokok di dalam hutan di situ.
“Dia cakap ‘Tengok sekeliling, masih ada banyak lagi pokok’,” kata Meor Razak.
Menurutnya, beliau mencelah dan menjelaskan kepada pembalak tersebut bahawa Orang Asli bergantung kepada tanah dan hutan untuk mendapatkan bekalan makanan, kayu untuk membina rumah serta sumber keperluan lain.
Semua ini musnah disebabkan aktiviti pembalakan, tambah Meor Razak.
“Saya beritahu mereka, ‘Awak duduk di bandar, ada mesin ATM boleh keluar duit. Hutan ini macam mesin ATM mereka, mereka tak ada duit, itu (dalam hutan) sajalah yang mereka ada’,” katanya.
Pembalak itu kemudiannya menuduh penduduk kampung menyebarkan pembohongan di Facebook bahawa mereka memusnahkan bekalan air Orang Asli.
Seorang anggota suku Temiar itu berkeras bahawa perkara itu sememangnya benar kerana air sungai bertukar menjadi keruh dan semakin perlahan.
Pembalak ittu juga diberitahu, aktiviti pembalakan merosakkan paip yang dipasang oleh Orang Asli untuk menyalurkan air ke rumah mereka, katanya.
Meor Razak berkata, kumpulan Orang Asli seterusnya mengusir pembalak tersebut dan berkata: “Balik ke tempat asal kamu dan jangan usik tanah kami! Kamu pembohong, jangan sentuh tanah nenek moyang kami, pergi balik!”
Orang Asli Temiar di Kampung Tasik Cunex membantah aktiviti pembalakan di kawasan kampung tersebut yang bermula sejak Disember lalu.
Pada 16 Mei, sekatan yang didirikan untuk menghalang pembalak dirobohkan dengan sokongan kerajaan negeri Perak yang tidak mengiktiraf kawasan tersebut sebagai tanah adat Orang Asil.
Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu mendakwa selepas diselidik, kawasan itu didapati tanah negeri dan tidak diwartakan sebagai tanah adat Orang Asli. – 25 Mei, 2019.