Jika menang PRU14, Pakatan janji PM tak pegang menteri kewangan
Iklan
PAKATAN Harapan (PH) berjanji, jika diberikan mandat mentadbir negara selepas pilihan raya umum ke-14 nanti, perdana menteri (PM) yang dilantik tidak akan memegang jawatan menteri kewangan.
Malah, Timbalan Presiden Amanah Salahuddin Ayub berkata partinya sudah mencapai kata sepakat, jika PM yang dilantik mahu juga memegang jawatan menteri kewangan, pemimpin Amanah tidak akan menyertai Kabinet itu.
“Tujuannya bagi memastikan pemisahan kuasa dan berlakunya semak dan imbang dalam pentadbiran negara,” katanya ketika berucap pada program “Selamatkan Malaysia” anjuran PH Tebrau di Sungai Tiram, Johor Bahru malam tadi.
Salahuddin berkata antara punca masalah ekonomi negara adalah apabila PM juga adalah menteri kewangan yang menyebabkan berlakunya salah guna kuasa dan rasuah.
Katanya, PH akan memastikan orang terbaik untuk menjadi menteri kewangan tanpa mengira bangsanya.
“Orang Melayu pernah mendapat manfaat paling banyak di negara ini ketika menteri kewangan Malaysia adalah orang Cina iaitu Tun Tan Siew Sin.
“Ketika beliau menjadi menteri kewangan, Tun Razak menjadi perdana menteri, lahirnya Dasar Ekonomi Baru (DEB) yang kemudiannya melahirkan Petronas, Pernas, Mara, ITM dan lain-lain lagi yang kebanyakan dikhaskan untuk membantu orang Melayu,” katanya.
Beliau berkata tugas pertama perdana menteri yang dilantik nanti membentuk Kabinet terbaik untuk Malaysia tanpa mengira kaum.
“Bukan isu kita mahu melantik Melayu, Cina atau India tetapi kita mahu melantik orang yang terbaik untuk duduk di situ,” katanya.
Selain Salahuddin, turut menyampaikan ceramah malam tadi ialah Naib Presiden Bersatu Rashid Asari, ADUN Stulang daripada DAP Andrew Chen dan Naib Presiden PKR Nurul Izzah Anwar.
Kehadiran Andrew menyertai ceramah malam tadi membuktikan laporan sebuah media yang DAP tidak menyertai majlis semalam tidak benar.
Salahuddin berkata selain menteri kewangan, tugas PM Pakatan nanti ialah memilih seorang menteri luar yang terbaik untuk membina semula imej negara yang teruk tercalar di mata dunia.
“Najib merosakkan nama baik negara melalui skandal 1MDB. Kita mesti menyelesaikan masalah ini dengan melantik menteri luar terbaik,” katanya.
Katanya, beliau akan mengumpulkan diplomat terbaik negara untuk menyelesaikan isu 1MDB dan membawa balik sekurang-kurangnya 50% daripada wang 1MDB yang kini dibekukan oleh negara asing.
“Singapura, Switzerland dan Amerika yang membekukan duit 1MDB, kita akan jumpa dan berusaha membalik balik wang kita,” katanya. – 23 September, 2017.