Iklan

Peguam Adib, bomba tarik diri dari inkues

Timothy Achariam5 years ago27th May 2019Berita
Iklan

INKUES menentukan kematian Muhammad Adib Mohd Kassim dikejutkan hari ini apabila peguam yang mewakili keluarga anggota bomba itu dan dua pihak lain berkepentingan – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Jabatan Penyelamat dan Bomba Malaysia – menarik diri daripada prosiding.

Peguam Syazlin Mansor, yang terlibat dalam inkues sejak hari pertama pada 11 Februari lalu, bagaimanapun tidak memberikan alasan penarikan diri, yang dibuat ketika inkues masuk hari ke-37.

“Saya menarik diri daripada mewakili KPKT dan pihak bomba,” kata Syazlin, sebaik saja inkues bermula di Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini.

Syazlin memberitahu Koroner Rofiah Mohamad, dengan penarikan dirinya itu, keterangan saksi pakar Dr Shahrom Abd Wahid juga terbatal.

“Dengan penarikan diri saya, saya percaya Prof Shahrom Abd Wahid sebagai saksi ke-29 yang dipanggil semula sebagai pakar dalam kes ini juga terbatal,” katanya.

Peguam yang mewakili keluarga Adib, Ahmad Taufiq Baharom kemudian memberitahu mahkamah pihaknya menyerahkan urusan selanjutnya atas budi bicara koroner.

“Kami tiada lagi saksi untuk dipanggil,” katanya.

Dr Shahrom adalah bekas pakar perunding kanan forensik dan patologi Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia.

Rofiah pada 17 Mei lalu membenarkan permohonan Syazlin untuk memanggil Dr Shahrom bagi memberi keterangan semula.

Dalam keterangannya kepada mahkamah sebelum ini, Dr Shahrom menyangkal laporan bedah siasat ke atas Adib serta keterangan yang diberikan oleh dua pakar perubatan forensik Hospital Kuala Lumpur, Dr Ahmad Hafizam Hasmi dan Dr Mohd Shah Mahmood.

Dr Ahmad Hafizam yang dibenarkan untuk memberi keterangan semula pada 10 Mei lalu kemudian menyangkal beberapa fakta yang dibentangkan oleh Dr Shahrom.

Adib, anggota penyelamat dari Balai Bomba dan Penyelamat Subang Jaya, cedera parah dalam rusuhan dekat Kuil Sri Maha Mariamman di Subang Jaya pada 27 November tahun lepas dan meninggal dunia pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara. – 27 Mei, 2019.

Iklan
Iklan