Tugas peguam bertindih kerana AGC wakili KPKT, bomba, kata Zuraida
Iklan
JABATAN Peguam Negara (AGC) bertindak bagi pihak Kementerian Kerajaan dan Perumahan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat dalam inkues kematian anggota bomba Muhammad Adib Mohd Kassim.
Tambahnya, kerana itu tidak wujud keperluan untuk peguam Syazlin Mansor mewakili kedua-dua pihak menyebabkan peranannya bertindih, kata Menteri Zuraida Kamarudin kepada The Malaysian Insight.
Keputusan itu mengejutkan kerana Syazlin terlibat dalam inkues itu sejak awal dan beliau juga dilaporkan mewakili keluarga Adib.
Zuraida berkata pihaknya baharu menyedari yang AGC mewakili kedua-dua pihak.
“Kami perlu mengambil maklum AG mewakili kerajaan - termasuklah kedua-dua kementerian dan bomba.
“Justeru, peranan Syazlin dalam mewakili Bomba sudah menjadi tidak perlu. Jadi beliau perlu menarik diri,” katanya.
The Malaysian Insight sudah menghubungi Peguam Negara Tommy Thomas tetapi belum menerima sebarang reaksi.
Zuraida diminta mengulas isu penarikan diri Syazalin daripada inkues yang sedang hangat berjalan itu. Peguam itu dilaporkan menarik diri minggu lepas selepas menerima sepucuk surat.
Zuraida bagaimanapun tidak menjawab soalan mengenai kesahihan sama ada surat itu wujud atau tidak.
Syazlin mengumumkan penarikan diri daripada inkues tersebut di Mahkamah Koroner Shah Alam pagi tadi. Malaysiakini melaporkan yang peguam itu memberitahu keputusan dibuat kerana “perkembagan terbaru kes” tetapi tidak mengulas lanjut.
Syazlin juga enggan mengulas laporan Sinar Harian yang mengaitkan keputusannya itu dengan “sepucuk surat” dikatakan dihantar oleh seorang pegawai undang-undang kanan kerajaan.
“Saya tak boleh komen. Tolong rujuk kepada YB (Zuraida),” katanya. ‘
Laporan akhbar berkenaan memetik sumber yang berkata terdapat pihak yang tidak senang dengan ketegasan Syazlin dalam membongkar kebenaran kematian Adib.
Keputusan Syazlin menarik diri sekaligus membatalkan keterangan pakar Prof Dr Shahrom Abdul Wahid.
Shahrom dalam keterangannya sebelum ini berkata yang kecederaan Adib adalah kerana beliau ditarik keluar daripada van EMRS dan diserang dalam kejadian rusuhan kuil Seafield 27 November lalu.
Keterangannya itu bertentangan dengan dua lagi keterangan pakar perubatan yang mendakwa Adib terjatuh dan dilanggar kenderaan dalam cubaan melarikan diri daripada perusuh.
Adib, 24, meninggal dunia di Institut Jantung Negara (IJN) pada 17 Disember. Kematiannya mencetuskan kemarahan seluruh negara, inkues dijalankan kerana siasatan polis tidak menemui sebarang kesimpulan memuaskan. – 27 Mei, 2019.