80% peminjam PTPTN dari kumpulan B40, kata Wan Saiful
Iklan
PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memerlukan penyelesaian menyeluruh bagi menangani hutang peminjam yang 80% terdiri daripada kumpulan B40, kata pengerusinya.
Wan Saiful Wan Jan memberitahu siaran BFM Breakfast Grille pagi tadi sebanyak 19% atau 360,000 peminjam tidak mampu membayar pinjaman mereka.
“Ini menyedihkan, Kita perlu terima hakikat bahawa 80% daripada peminjam adalah mereka yang berpendapatan bawah RM4,000.”
Kumpulan B40 ini merujuk kepada 40% isi rumah berpendapatan RM3,900 ke bawah.
“19% peminjam ini mereka bukan sengaja tak mahu bayar pinjaman tetapi mereka tak mampu,” kata Wan Saiful.
“Saya sangat yakin bahawa ramai antara mereka ini tak mampu membayar pinjaman.”
Bagaimanapun, beliau berkata banyak kerja yang perlu dilakukan untuk mengesahkan perkara ini kerana data yang diperolehi PTPTN dan agensi kerajaan tidak selaras.
Menurutnya, 80% daripada peminjam yang berpendapatan bawah RM4,000 sebulan itu adalah berdasarkan kajiannya sendiri ketika menyertai PTPTN pada akhir Jun tahun lalu.
PTPTN sudah memulakan rundingan awam bagi menyelesaikan hutang berjumlah RM53 bilion. Sebanyak RM40 bilion adalah dari hutang peminjam.
Wan Saiful jika masalah berkenaan peminjam ini tidak ditangani, jumlah hutang tersebut akan meningkat kepada RM76 bilion.
Satu panel penasihat bebas yang ditubuhkan untuk menjalankan rundingan awam tersebut diberi tugas untuk menyampaikan 10 cadangan bagi menyelesaikan masalah yang dihadapi oleh PTPTN dan mengumpul maklum balas dari orang ramai. – 28 Mei, 2019.