Iklan

Peminjam PTPTN di Sabah gesa gaji, kos sara hidup dipertimbangkan

Jason Santos5 years ago30th May 2019Berita
Ptpn6
Antara mereka yang hadir pada sesi perjumpaan bersama PTPTN di Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam. Mereka mendesak dana itu mengambil kira kemampuan gaji dan kos sara hidup peminjam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 30 Mei, 2019.
Iklan

PERBADANAN Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) mesti mengambil kira perbezaan gaji dan kos sara hidup lebih tinggi bagi peminjam di Sabah.

Peminjam PTPTN Gary Chong berkata, ini kerana terdapat perbezaan dari segi kos, upah dan sektor pekerjaan antara Sabah dan Semenanjung.

Jurutera berusia 30 tahun itu berkata, gaji minimum RM1,100 di Sabah tidak mungkin dapat membantu graduan membayar semula pinjaman pendidikan mereka.

Beliau berkata, dengan hanya RM1,100 sebagai gaji permulaan yang mana RM600 untuk menyewa di Kota Kinabalu, ia tidak mencukupi untuk mereka membayar hutang PTPTN.

“Ini tidak masuk akal. Jika mereka bernasib baik, ia akan mengambil masa sekurang-kurangnya lima tahun untuk mendapat gaji RM2,000 sebulan.

“Mereka mungkin tinggal di kampung dan menjadi petani,” katanya kepada majlis penasihat bebas PTPTN dalam satu perjumpaan di Universiti Malaysia Sabah (UMS) semalam.

PTPTN kini dalam siri jelajah ke negeri-negeri bagi mendapatkan maklum balas mengenai cara untuk menyelesaikan hutang RM40 bilionnya.

Mereka boleh meminjam dari bank perdagangan untuk memberi pinjaman kepada pelajar tetapi masih berusaha untuk mendapatkan bayaran balik daripada peminjam.

Gaji minimum itu diselaraskan di seluruh negara pada RM1,100 baru-baru ini di bawah kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Tetapi rakyat Sabah telah lama merungut akan kos sara hidup mereka yang 30% lebih tinggi dari Semenanung selain kekurangan peluang pekerjaan untuk lepasan universiti di timur Malaysia yang mempunyai kira-kira 40,000 siswazah menganggur.

Pelajar dan orang ramai menghadiri sesi perjumpaan bersama Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) di Universiti Malaysia Sabah (UMS), Sabah semalam. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 30 Mei, 2019.

Sebagai jawapannya, ahli panel PTPTN Shahruddin Sheikh Salim berkata, panel akan mengambil kira pandangan Chong sambil menambah kos sara hidup dan pengangguran bukan masalah yang boleh ditangani oleh dana itu.

Namun Shahruddin berkata, beliau akan menyampaikan kebimbangan ini kepada Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Seorang lagi peserta Jerry mencadangkan seorang ahli politik atau wakil menteri pendidikan duduk di majlis penasihat.

Jerry berkata, seorang ahli politik sepatutnya menjadi ahli majlis penasihat PTPTN untuk menangani isu dana yang merupakan sebahagian daripada manifesto PH.

Beliau menambah, PH perlu bertanggungjawab untuk mengotakan janjinya merujuk pada manifesto utuk menangguhkan pembayaran semula pinjaman sehingga graduan memperoleh gaji sebanyak RM4,000 sebulan.

Tahun lepas, Pengerusi PTPTN Wan Saiful Wan Jan yang juga ahli majlis tertinggi Bersatu memohon maaf bahawa dana itu tidak dapat menjamin janji pilihan raya PH untuk membolehkan peminjam menangguhkan bayaran balik sekiranya gaji mereka kurang dari RM4,000.

Wan Saiful berkata, beliau tidak tahu betapa banyaknya hutang PTPTN ketika manifesto itu diwujudkan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 tahun lepas. – 30 Mei, 2019

Iklan
Iklan