Iklan

Berdepan masalah dadah, penduduk Keramat buka kebun

Thor Kah Hoong7 years ago24th Sep 2017Berita
Community garden au2 20170923 tmihasnoor 007-1
Pintu masuk ke kebun masyarakat di Flat Colombia kini ada pelbagai jenis pokok sayuran, bunga, herba dan padi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 September, 2017.
Iklan

FLAT Columbia di AU2 Taman Keramat mula didiami pada 1974. PKNS yang memberikan nama itu.

Realitinya ialah 18 blok rumah kos rendah itu terdiri daripada 560 unit satu bilik (43m persegi), 64 unit dua bilik (54m persegi) dan 64 unit tiga bilik (66m persegi).

Flat itu terletak hanya 2km dari sekolah tahfiz di Kampung Datuk Keramat di mana berlaku kebakaran yang menyebabkan 21 pelajar dan dua guru maut, baru-baru ini. Tujuh remaja ditahan, suspek dipercayai melakukan kebakaran itu.

Flat itu selama ini menjadi kediaman pesara, penganggur, kanak-kanak, pekerja rencam dan jurujual.

Ia juga dikenali sebagai tempat mendapatkan dadah, dulu heroin, sekarang pil/serbuk meth.

“Flat Columbia, semua tahu,” kata Raja Aris, 70, seorang pesara PKNS.

Jarum suntikan, ampul kosong dan “pusher” bersarang di situ.

Di tebing sungai itu dulu berderetan setinggan pendatang haram Indonesia, ada tempat dangdut, judi dan pelacuran. Kemudian pihak berkuasa serbu, halau mereka dan menjadikan tempat ditumbuhi rumpai.

Penduduk Flat Columbia di AU2 Taman Keramat bekerjasama menjadikan usaha di kebun masyarakat di situ berjaya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 September, 2017.

Rukun Tetangga kemudian ditubuhkan. Pengerusinya, Mohamad Halim, 45, seorang jurutera mekanikal.

Kejayaannya tidak menjadi penghalang untuknya mendekati nasib golongan miskin di berhampiran rumahnya di kejiranan itu.

Mereka banteras masalah dadah menerusi rondaan setiap malam. Katanya, penjual dadah di situ “orang luar, bukan dari kawasan itu, tetapi kami yang dapat nama buruk”.

Halim berkata untuk mengubah sikap golongan muda di situ, perlukan masa.

“Kali pertama, anda kata mereka salah, anda kena marah. Tetapi perlahan-lahan, mereka berubah. Ambil masa untuk buat orang sedar.

“Masa awal dulu, ramai orang kata, bagaimana situ boleh jadi kebun? Sekarang dah berjaya, lebih ramai yang mahu terbabit.”

Seorang penduduk membawa anaknya berjalan-jalan di kebun masyarakat di AU2 Taman Keramat. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 September, 2017.

Halim merujuk kepada kebun masyarakat seluas hampir satu ekar di kawasan itu yang mula dibuat pada 2015, berdekatan Sungai Klang, di atas tanah milik Jabatan Pengairan dan Saliran.

Kebun itu mendapat sumbangan daripada Maybank, dan Hakim berkata hubungan mereka dengan Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) “amat rapat”, dengan bantuan mudah diperoleh.

Aris, dengan pelantikannya sebagai ketua tukang kebun, mengisi masanya sebagai pesara.

“Sekarang bila ada kebun itu, masa saya banyak terluang di situ.”

Setiap pagi kira-kira jam 8 pagi, Aris dan isterinya Nooriza Mahasan akan berada di kebun – bersarapan, dan kemudian memotong pokok menanam semula tanaman di situ.

Ada sayuran, pokok buah, herba, pokok bunga, jagung, tongkat Ali, malah ada pokok padi juga, kerana Aris mahu budak-budak bandar di situ kenal pokok apa yang menjadi nasi untuk makanan mereka.

Malangnya, tidak adapun budak yang berminat dengan kebun itu. Golongan dewasa yang baru pulang kerja, atau pesara yang banyak membantu dalam berkebun.

Mereka juga ada dua tangki ikan keli. Setiap minggu, satu beg seberat antara 25-30kg dijual pada harga RM6 sekilogram kepada peniaga di Jalan Pasar.

Aris berkata dia tidak perlu beli sayur di pasar sejak kebun itu dibuka.

Penduduk yang memerlukan boleh datang ke kebun itu dan ambil apa yang ada, walaupun jika mereka tidak memberi sumbangan masa dan usaha di situ.

Seorang penduduk yang dikenali sebagai Misai, seorang pekerja rencam, ada di situ untuk menawarkan khidmat tukang kayu atau masalah paip.

“Tenaga, insya-Allah ramai yang boleh beri. Sukan, gotong-royong tidak ada masalah. Cuma daripada segi kewangan saja,” kata Halim.

Mereka perlukan baja organik. Seorang penganalisis mendapati 80% nutrien tanah di situ sudah kehabisan.

“Sukar untuk kami minta wang daripada penduduk, kerana kebanyakan mereka bergelut untuk meneruskan kehidupan seharian,” kata Halim.

“Sekarang di sekolah rendah pun, kena bayar macam-macam. Kalau tak ada duit, macam mana? Ada keluarga di sini, ada dua tiga orang anak yang tidak bersekolah. Tidak ada duit, ibu bapa tidak bekerja.

“Ada satu keluarga datang minta bantuan kami. Anaknya pandai. Kami boleh tolong sekali, tetapi kami bukan badan kebajikan, kami tidak dapat tolong selalu. Nak masuk universiti, beribu nak guna duit. Kita minta pinjam pada kawan, kita malu, dan kalau tidak bayar, kita kena hilangkan diri.”

Halim menyalahkan politik kerana pembangunan semula di situ, menyebabkan kepadatan penduduk.

Flat Colombia terdiri daripada 18 blok rumah kos rendah itu – 560 unit satu bilik, 64 unit dua bilik  dan 64 unit tiga bilik. – Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 24 September, 2017.

Pemaju ada menawarkan flat lebih luas berbanding sekarang secara percuma, dan pampasan untuk sewa bila keluarga terpaksa berpindah sementara flat baru sedang dibina, tetapi ia tidak diluluskan.

“Dalam jawatankuasa kami, ada pelbagai parti politik, tetapi di sini tidak ada politik. Kami tolong semua,” kata Halim.

Pada pagi Awal Muharam, lebih sedozen penduduk berkumpul di kebun itu, mengisi borang kaji selidik yang diedarkan pelajar Universiti Putra Malaysia.

Ia disusuli dengan makan tengah hari ringkas, nasi lemak disediakan oleh penduduk, kemudian mereka bersurai untuk ke masjid, solat Jumaat.

Pada jam 4 petang, mereka kembali memasak seperiuk besar sup bersama roti dan mi, serta bungkusan nasi lemak yang disumbangkan penduduk lain. – 24 September, 2017.

Iklan
Iklan