Iklan

Kisah peniaga Kota Kinabalu dan makanan tak terjual

Jason Santos5 years ago31st May 2019Berita
Food waste002 copy
Secara puratanya, lebih 30% makanan disediakan peniaga di Kota Kinabalu tidak terjual. Kebanyakan akan disedekahkan, tetapi masih banyak yang dibuang. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 31 Mei, 2019.
Iklan

KETIKA menutup gerainya di bazar Ramadan, Hisham Kadir sudah pun siap menyediakan 10 bungkusan makanan untuk diberikan kepada gelandangan dan masih ada sedikit baki makanan yang tidak terjual.

Ia akan disedekahkan kepada masjid berhampiran Kota Kinabalu, Sabah untuk majlis berbuka puasa mereka, katanya.

Pesara guru itu berkata beliau gembira dengan hasil jualannya hari ini dan tidak kisah untuk menyedekahkan baki makanan tidak terjual kepada mereka yang lebih memerlukan.

Lebih baik daripada membuangnya, amalan biasa peniaga sebelum ini, tetapi menurut Hisham situasi sekarang sudah banyak berubah.

Kajian oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS) oada 2015 mendapati sisa makanan membentuk 75% daripada 500 tan sisa yang dihantar ke tapak pembuangan sampah Kayu Madang, di Taman Perindustrian Kota Kinabalu, berhampiran Telipok setiap bulan.

Tetapi, kesedaran semakin meningkat dan peniaga sudah belajar tentang persiapan makanan yang lebih baik serta memahami tabiat pengguna, kata Hisham.

Setiap hari sepanjang Ramadan, beliau membelanjakan RM800 untuk membeli 15kg peha ayam, 10kg sayap ayam, 10kg tongkek, 5kg daging lembu, 5kg daging kambing, beras, mee dan pelbagai jenis barangan lain.

Beliau akan mula memasaknya sekitar jam 2 petang di bazar Lintasan Deasoka, Kota Kinabalu, mula berniaga sekitar jam 3 petang setiap hari.

“Biasanya dekat waktu buka puasa, saya akan dapat untung bersih sekitar RM300. Selalunya, 80% makanan dah habis terjual.

“Kami tak mahu buang jika ia masih baik, jadi kami akan beri kepada mereka yang memerlukan yang selalunya datang pada jam 6 petang, atau sedekahkan kepada masjid berhampiran,” katanya.

Hisham menambah, peniaga bazar Ramadan juga sering bertukar juadah sesama mereka. Pegawai Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) juga sering memberi nasihat supaya peniaga tidak membazirkan makanan.

Secara puratanya, lebih 30% makanan disediakan peniaga di Kota Kinabalu tidak terjual. Kebanyakan akan disedekahkan, tetapi masih banyak yang dibuang.– 31 Mei, 2019.

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan