Iklan

Bukti dalam siasatan kes Adib perlu kekal dalam rekod, kata Majlis Peguam

Timothy Achariam5 years ago2nd Jun 2019Berita
Adib inkues
Setiap bukti yang dikemukakan dalam siasatan kematian Adib akan terus kekal dalam rekod walaupun peguam dalam inkues tersebut menarik diri. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2019.
Iklan

KESEMUA keterangan yang dikemukakan dalam siasatan berhubung kematian anggota bomba Mohd Adib Mohd Kassim dikekalkan walaupun peguam keluarga itu Syazlin Mansor menarik diri, kata Majlis Peguam hari ini.

Syazlin, yang merupakan peguam undang-undang untuk Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Jabatan Bomba dan Penyelamat serta keluarga Adib, menarik diri daripada mewakili ketiga-tiga pihak berkepentingan itu pada minggu lepas.

Beliau tidak memberikan alasan berhubung penarikan diri tersebut namun Peguam Negara Tommy Thomas kemudiannya berkata bahawa beliau telah diarahkan untuk menarik diri kerana terdapat konflik kepentingan ketika mewakili ketiga-tiga pihak berkenaan.

Beliau menambah bahawa Syazlin masih boleh mewakili keluarga Adib manakala Jabatan Peguam Negara akan mewakili kementerian dan jabatan tersebut.

“Penarikan diri Syazlin Mansor sebagai penasihat undang-undang sama sekali tidak membatalkan atau mengurangkan bukti yang telah dikemukakan setakat ini, kerana semua keterangan itu akan terus direkodkan,” kata Presiden Majlis Peguam Malaysian Abdul Fareed Abdul Gafoor.

Abdul Fareed berkata Syazlin sepatutnya menolak daripada mewakili secara serentak ketiga-tiga pihak berkenaan.

Beliau turut mempersoalkan koroner dan pegawai pengendali dalam kes itu kerana tidak membantah pelantikan tersebut sejak dari awal.

“Majlis Peguam Malaysia berpendapat bahawa Syazlin sepatutnya menolak untuk bertindak secara serentak untuk Kementerian Perumahan, Jabatan Bomba dan keluarga Muhammad Adib.

“Walaupun inkues tersebut bukan bersifat perbicaraan dan hanya bersifat siasatan, reaksi orang ramai terhadap perkara ini dapat digambarkan sendiri di mata awam, terdapat konflik kepentingan,” katanya.

“Sangat dikesalkan bahawa tiada bantahan dibangkitkan pada peringkat awal prosiding inkues, sama ada oleh koroner atau pegawai pengendali, ketika Syazlin Mansor mula mewakili pihak-pihak berkenaan,” katanya.

Beliau berkata bahawa perkara tersebut menjadi isu yang menyebabkan persepsi negatif dikeluarkan orang ramai mengenai apa yang berlaku dalam inkues tersebut.

Beliau turut memberi amaran bahawa pihak yang terlibat harus lebih berhati-hati dari awal inkues tersebut, dan oleh kerana mereka gagal berbuat demikian, ia menyebabkan spekulasi yang tidak perlu dan persepsi yang buruk.

Walau bagaimanapun, Abdul Fareed berkata bahawa Syazlin masih boleh menjadi sebahagian daripada inkues dengan mewakili keluarga Adib kerana Peguam Negara tidak menghentikan beliau daripada berbuat demikian.

“Perlu diperhatikan bahawa Peguam Negara sama sekali tidak menghalang Syazlin daripada terus mewakili keluarga Adib dalam inkues itu; dia sendiri yang menarik diri daripada berbuat demikian, dengan persetujuannya sendiri, “katanya.

Beliau juga menambah bahawa di dalam peruntukan undang-undang, sepatutnya pegawai dari Jabatan Peguam Negara yang harus hadir mewakili kerajaan dan agensinya, melainkan peguam negara memberikan keizinan peguam bela dan peguam cara untuk mewakili kerajaan menurut Akta Prosiding Kerajaan 1956.

“Tiada fiat seperti itu dikeluarkan kepada Syazlin untuk pelantikannya, dan oleh itu dia tidak sepatutnya dilantik sebagai peguam agensi-agensi kerajaan tersebut.”

Semalam Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Zuraida Kamaruddin berkata bahawa peguam negara akan melantik peguam baru untuk mewakili kementerian dan jabatan itu apabila inkues itu diteruskan pada bulan ini.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan Thomas, dan menambah bahawa semua bukti akan tetap kekal dalam rekod. – 2 Jun, 2019.
 

Iklan
Iklan