Menteri tolak gesaan tubuh RCI berhubung pendatang tanpa izin di Sabah
Iklan
TIDAK ada keperluan penubuhan suruhanjaya diraja (RCI) baharu untuk meneliti isu pendatang tanpa izin di Sabah, kata Menteri Undang-undang Liew Vui Keong.
Beliau berkata semua laporan dan cadangan daripada RCI sebelum ini telah dikemukakan kepada jawatankuasa teknikal RCI dan masih digunakan kerana ia masih relevan.
“RCI berhubung pendatang tanpa izin telah dijalankan pada tahun 2012 dan telah memanggil banyak saksi untuk beri keterangan.
“Saya difahamkan laporan telah dibuat tetapi apa yang berlaku mengenainya, kami tidak tahu. Laporan dan siasatan dilakukan baru-baru ini, “katanya.
“Mereka masih boleh digunakan dan saya harap laporan itu akan dibangkitkan semula kepada kerajaan, melalui Parlimen atau dewan negeri, menggunakan laporan RCI sebagai rujukan.
“Ini termasuk apa juga cadangan yang dibuat kepada jawatankuasa teknikal, ia masih boleh digunakan untuk selesaikan masalah pendatang haram di Sabah,” katanya selepas menyampaikan bantuan Hari Raya kepada warga emas di Batu Sapi, di Pantai Timur Sabah.
Kenyataan ahli Parlimen Batu Sapi itu tampil susulan permintaan Parti Bersatu Sabah untuk menubuhkan RCI kedua mengenai pemberian dokumen kepada pendatang tanpa izin.
RCI yang dianggotai enam ahli berhubung pendatang tanpa izin di Sabah diketuai bekas ketua hakim Sabah dan Sarawak Steve Shim didengar pertama kali pada 14 Januari 2013 dan sembilan bulan kemudian penemuan RCI dikeluarkan dalam sebuah laporan setebal 366 muka surat.
Lebih 200 saksi memberi keterangan dalam sidang itu termasuk Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Bekas Timbalan Ketua Menteri Joseph Pairin Kitigan dilantik untuk mengetuai jawatankuasa teknikal RCI pada Disember 2014 bagi mengumpul cadangan untuk menyelesaikan isu pendatang haram di Sabah.
Namun tidak ada apa-apa susulan yang datang daripada jawatankuasa tersebut setakat ini. – 2 Jun, 2019.