Iklan

Sabah alu-alukan Esscom yang lebih efektif  

Jason Santos5 years ago2nd Jun 2019Berita
Heart borneo004 copy
Ketua Menteri Sabah, Shafie Apdal berkata kerajaan negeri akan berikan sokongan kepada struktur baharu yang akan diputuskan Putrajaya nanti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 2 Jun, 2019
Iklan

SABAH akan memberikan sokongan penuh terhadap penstrukturan semula Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) selagi ia berkesan dalam mengekalkan keselamatan di wilayah pantai timur negeri itu, kata ketua menterinya Shafie Apdal hari ini.

Shafie yang juga pengerusi majlis keselamatan negeri itu berkata, ia merupakan maklum balas terhadap langkah kerajaan persekutuan untuk menambah baik operasi Esscom, dalam masa yang sama memperkenalkan langkah berjimat.

Sumber mendakwa Putrajaya sebelum ini mahu memansuhkan Esscom sebelum menarik balik keputusan itu susulan pengesyoran Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

“Kami mengalu-alukan sebarang cadangan untuk menambah baik Esscom termasuk langkah pengurangan kos, namun apa yang paling penting, kita mahukan keberkesanan Esscom dipertingkatkan.

“Saya turut dimaklumkan mengenai perkara ini dan sekiranya terdapat penambahbaikan, kerajaan negeri akan berikan sokongan kepada struktur baharu yang akan diputuskan Putrajaya nanti.

“Kami akan berikan sokongan penuh dan mengambil langkah yang perlu kerana keselamatan Sabah adalah penting,” katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat majlis tertinggi Parti Warisan Sabah di Kota Kinabau hari ini.

Putrajaya dijangka akan mengekalkan Esscom walaupun timbul persoalan mengenai keberkesanannya, dan kos logistik anggota yang meningkat serta rantaian perintah yang tidak jelas.

Pusat operasi bersepadu yang terdiri daripada polis, Angkatan Tentera Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia ditubuhkan untuk meningkatkan keamanan di 1,400km dari pantai timur Sabah, dari Kudat ke Tawau, selepas pencerobohan berdarah Lahad Datu pada 2013.

Ia juga bagi menghentikan penculikan dan kegiatan lanun di kawasan berkenaan. – 2 Jun, 2019

Berita penuh di sini.

Iklan
Iklan