Iklan

Hubungan PH kekal kukuh dengan Warisan, kata PM

Jason Santos5 years ago2nd Jun 2019Berita
Puasa4
Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad hadir pada majlis berbuka puasa di Masjid Bandaraya di Kota Kinabalu malam ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Irwan Majid, 2 Jun,2019.
Iklan

PAKATAN Harapan (PH) dan Parti Warisan Sabah mempunyai hubungan yang kuat, kata Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad malam ini.

Walaupun parti yang memerintah kerajaan Sabah bukan sebahagian daripada gabungan Persekutuan, mereka adalah “rakan kongsi yang baik”, kata Dr Mahathir yang juga perdana menteri.

“Warisan bekerja rapat dengan PH.

“Mereka juga mempunyai tiga anggota mereka di kabinet Persekutuan,” katanya.

Mereka adalah Menteri Undang Undang Liew Vui Keong, Menteri Pelancongan Mohammadin Ketapi dan Mentari Perdagangan Antarabangsa dan Industri Darell Leiking.

Dr Mahathir berkata demikian pada sidang akhbar selepas menghadiri majlis berbuka puasa di Masjid Bandaraya di Kota Kinabalu malam ini.

Beliau kemudiannya menghulurkan bantuan kepada 100 individu dan anak yatim yang kurang bernasib baik.

Turut hadir Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal yang merupakan Presiden Warisan.

Ketika ditanya mengenai permintaan Sabah untuk mengambil alih projek Lebuhraya Pan Borneo, Dr Mahathir berkata beliau menyerahkan kepada Menteri Kerja Raya Baru Bian untuk memutuskan perkara berkenaan.

Dr Mahathir juga mengakui bahawa pengeluaran dana persekutuan untuk projek di negeri kini agak perlahan kerana Putrajaya kekurangan wang disebabkan oleh salah urus pentadbiran terdahulu.

Beliau berkata, kerajaan persekutuan mahu sektor swasta terlibat dalam projek persekutuan sambil menambah syarikat mestilah “tulen”. – 1 Jun, 2019.

Iklan
Iklan