Kenapa paksa Orang Asli naik turun mahkamah dalam Malaysia Baharu
Iklan
MALAYSIA perlu menghormati hak tanah asli dan tidak menyebabkan Orang Asli terpaksa berulang kali ke mahkamah untuk menegaskan hak mereka di bawah kerajaan baharu Pakatan Harapan (PH), kata kumpulan pejuang alam sekitar yang membantu masyarakat Temiar di Kampung Tasik Cunex di Gerik, Perak.
Pertubuhan Pelindung Khazanah Alam Malaysia (Peka) sedang membantu Orang Asli di sini untuk bertemu dengan pihak berkuasa kerajaan berhubung isu pembalakan yang memusnahkan sumber makanan dan kehidupan mereka, selain memberi kesedaran kepada orang ramai tentang nasib mereka.
Naib Presiden bersama Peka Saha Deva Arunasalam berkata pada masa ini Orang Asli berkenaan akan cuba mendapatkan pengiktirafan untuk tanah mereka menerusi saluran kerajaan tanpa pergi ke mahkamah.
“Peka mengharapkan pihak berkuasa bertindak tanpa perlu Orang Asli di seluruh negara pergi ke mahkamah setiap kali berlaku isu, terutama dalam Malaysia Baharu,” katanya kepada The Malaysian Insight.
“Peka membantu Orang Asli Cunex untuk menarik perhatian pihak berkuasa dan orang ramai terhadap nasib mereka. Sebagai NGO, fokus kami ialah memperkasakan mereka dalam memperjuangkan nasib mereka.”
Beliau berkata penduduk kampung Cunex membawa masalah mereka kepada Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) dan dijadualkan bertemu ketua pengarahnya Dr Juli Edo tidak lama lagi.
Edo, Orang Asli pertama mengetuai jabatan itu, baru-baru ini menyokong penduduk kampung Cunex dalam usaha mereka menyekat syarikat pembalakan. Sekatan itu dimusnahkan dengan sokongan kerajaan negeri Perak, di mana Menteri Besar Ahmad Faizal Azumu berkata tanah itu tidak diwartakan sebagai tanah adat, maka ia milik kerajaan negeri.
Saha berkata Faizal patut turut dipersalahkan atas apa yang berlaku pada masa ini antara Orang Asli dan pembalak di kawasan itu kerana menteri besar itu kurang memahami tentang hak tanah Orang Asli.
“Sebahagian daripada isu ini berdasarkan kepada kenyataan media dibuat oleh MB Perak yang nampaknya kurang pemahaman tentang hak tanah Orang Asli,” katanya.
Kes Sagong Tasi vs kerajaan negeri Selangor misalnya, menyaksikan mahkamah memutuskan bahawa Orang Asli ada hak adat terhadap tanah mereka walaupun kerajaan negeri mempunyai pemilikan dan bidang kuasa atas tanah itu.
Saha berkata menteri besar sepatutnya mencari langkah pemulihan dan alternatif bagi menyelesaikan pertikaian antara pembalak dan Orang Asli, selain memelihara hutan yang masih ada.
Ini kerana pembalakan menyebabkan makanan berkurangan dan masalah bekalan air kepada penduduk kampung yang bergantung pada hutan dan sungai untuk hidup.
Beliau berkata tindakan undang-undang akan diambil sebagai langkah terakhir jika kerajaan negeri Perak masih enggan menyelesaikannya.
“Jika Orang Asli Kampung Cunex terpaksa menggunakan saluran undang-undang, Peka akan bersedia memberi bantuan demi melindungi hak tanah adat mereka,” katanya.
Pertikaian antara penduduk Orang Asli dan pembalak berterusan sejak awal tahun ini. Mereka tekad untuk terus membuat sekatan.
Pada 16 Mei, sekatan dibuat bagi menghalang pembalak masuk ke kawasan hutan mereka dirobohkan dengan sokongan kerajaan negeri, yang tidak mengiktiraf hak mereka terhadap tanah adat itu.
Menteri besar mengeluarkan kenyataan pada hari sama, menyalahkan Orang Asli atas insiden itu.
Katanya, 26 keluarga yang terbabit keluar daripada program penempatan semula yang diberikan kepada mereka pada awal 2017 dan “menceroboh” rizab hutan Air Cepam milik kerajaan negeri.
Katanya, mereka berpindah balik selepas berlaku salah faham dengan tok batin dari kampung lain, Kampung Sungai Sarok. – 3 Jun, 2019.