Iklan

Putrajaya ambil langkah selesai masalah Orang Asli di Perak 

Timothy Achariam5 years ago3rd Jun 2019Berita
Cunex 20190523 hasnoor 034
Masyarakat Orang Asli di Cunex, Gerik, Perak melihat sekatan yang dirobohkan oleh pembalak bagi menghalang mereka memasuki hutan berkenaan.– Gambar The Malaysian Insight oleh Hasnoor Hussain, 3 Jun, 2019
Iklan

PUTRAJAYA akan mengambil langkah untuk mengurangkan ketegangan dan mencari penyelesaian dalam pertikaian antara penduduk kampung dan pembalak di Gerik, Perak, kata ketua agensi Persekutuan Orang Asli.

Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Profesor Dr Juli Edo memberitahu The Malaysian Insight hanya penyelesaian politik yang diberikan kerajaan mampu menyelesaikan isu antara kedua-dua pihak berkenaan.

“Proses ini memerlukan penyelesaian politik kerana ia rumit. Sekiranya kita mengikut angkah pentadbiran, kita perlu mematuhi undang-undang dan ia bukannya proses yang mudah,” katanya.

Juli berkata, terdapat banyak butiran rumit yang perlu dipertimbangkan apabila menyelesaikan isu berkenaan namun kerajaan akan mengambil langkah dan bergerak ke hadapan.

“Saya akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Perpaduan P Waythamoorthy dan kita akan melihat langkah yang boleh diambil,” katanya.

Penduduk kampung di Cunex, Gerik menghadapi masalah dengan pembalak sejak Februari, mengadakan sekatan bagi menghalang mereka memasuki hutan.

Bagaimanapun, sekatan itu dialihkan setiap pagi dan proses itu berulang setiap hari.

Sekatan itu dimusnahkan dengan bantuan kerajaan negeri Perak. Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berkata tanah berkenaan tidak digazetkan sebaga tanah adat dan ia adalah milik negeri.

Juli bagaimanapun berpendapat, Orang Asli di Gerik ada menuntut tanah berkenaan mengikut undang-undang, ia merupakan tanah kerajaan dan pembalakan boleh dijalankan.

Menurut beliau, sebelum perlembagaan persekutuan diwwujudkan, Orang Asli menikmati tuntutan tanah rizab Melayu. Bagaimanapun, sebaik sahaja perlembagaan dirangka dan mereka tidak tergolong dalam masyarakat Melayu, mereka serta merta hilang hak untuk menuntut tanah berkenaan.

Juli, yang merupakan Orang Asli pertama memegang jawatan ketua pengarah berkata, orang asal mempunyai hak mereka dan layak mendapat hak sama rata.

“Saya bukan hanya cakap sahaja  dalam perkara ini kerana saya merupakan salah seorang dari mereka tetapi mereka berhak untuk layanan sama rata. Mereka tidak meminta tanah di bandar atau apa-apa sahaja, mereka hanya mahukan tanah mereka tidak diusik.”

Juli juga berkata, penduduk kampung boleh mengambil langkah perundangan, ia bukanlah pilihan terbaik buat masa ini.

“Ia akan melibatkan banyak wang dan mengambil banyak masa. Kami mahu penyelesaian yang baik dalam perkara ini,” katanya.

Dalam kes terdahulu Tagong Tasi lwn Selangor, duluan yang telah ditetapkan memihak kepada Orang Asli kerana mahkamah memutuskan bahawa mereka mempunyai hak adat atas tanah mereka walaupun negeri mempunyai pemilikan dan bidang kuasa tanah.

Dalam kes pertikaian di Cunex, MB Perak Ahmad Faizal menyalahkan Orang Asli atas kesukaran itu.

26 keluarga terlibat dipindahkan dari program penempatan pada awal 2017 dan “menceroboh” ke kawasan hutan simpan Cepam yang menjadi milik kerajaan negeri, katanya.

Tindakan mereka itu berlaku selepas timbul salah faham dengan ketua kampung dari perkampungan lain. – 3 Jun, 2019

Iklan
Iklan