Latheefa Koya ketua baru SPRM: Apa yang kita tahu setakat ini?
Iklan
LATHEEFA Koya yang diumum sebagai Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang baharu semalam adalah wanita pertama menerajui agensi anti rasuah dalam lebih 52 tahun penubuhannya.
Beliau dilantik menggantikan Mohd Shukri Abdull yang memilih untuk memendekkan tempoh jawatannya sebelum 17 Mei tahun depan.
Pelantikan Latheefa dilantik secara kontrak untuk tempoh dua tahun berkuat kuasa 1 Jun lalu.
Pengumuman pelantikannya mendapat reaksi pelbagai daripada pembangkang, badan masyarakat serta pemimpin dalam kalangan parti komponen Pakatan Harapan sendiri.
Berikut adalah beberapa maklumat dan perkembangan dalam tempoh tidak sampai 24 jam sejak pelantikan itu diumumkan oleh Pejabat Perdana Menteri, semalam.
Siapa Latheefa Koya?
Latheefa, 46, mula jadi peguam pada 2001 dan aktif dalam isu-isu hak asasi manusia dan kepentingan awam.
Beliau mengendalikan beberapa kes yang jadi perhatian umum antaranya pertuduhan di bawah Akta Hasutan 1946 ke atas aktivis Adam Adli dan kartunis Zunar, serta kes di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 melibatkan Nik Nazmi Nik Ahmad dan Maria Chin Abdullah.
Minggu lalu, beliau terlibat dalam kempen menggantung hukuman mati ke atas rakyat Malaysia di Singapura kerana sabit kesalahan jadi keldai dadah.
Beliau pernah berkhidmat sebagai ahli majlis di Majlis Bandaraya Petaling Jaya antara 2008 hingga 2012.
Sebelum dilantik ke SPRM, beliau adalah pengarah Lawyers for Liberty,
“Rakam jejaknya yang panjang sebagai aktivis dan peguam hak asasi manusia akan membantu SPRM dalam usaha menghapuskan rasuah,” kata LFL dalam mesej mengalu-alukan pelantikan Latheefa.
Apa reaksi terhadap pelantikannya?
Mereka yang menyambut baik pelantikan Latheefa menyifatkan beliau seorang yang tegas, berani, dan tidak cakap kosong – sikap yang dipercayai akan memberi manfaat besar kepada usaha melawan rasuah di Malaysia.
Ketua Penerangan PKR Shamsul Iskandar Md Akin melihat pelantikan Latheefa satu pemberdayaan kepada wanita, pandangan yang dikongsi juga beberapa pemimpin politik wanita dan aktivis hak wanita.
Namun, ada juga yang mempersoalkan kebebasan Latheefa kerana penglibatannya dalam politik bersama PKR.
Ada juga pihak yang mempersoalkan cara pelantikan itu dibuat, yang disifatkan bertentangan dengan janji reformasi Pakatan Harapan. Mereka yang membangkitkan perkara itu termasuk rakan seperjuangan Latheefa seperti Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah yang juga bekas pengerusi bersama Bersih 2.0, dan pengarah eksekutif Pusat Membasmi Rasuah dan Kronisme (C4), Cynthia Gabriel.
Pelantikan Latheefa dibuat tanpa pengetahuan Jawatankuasa Pilihan Khas untuk melantik jawatan utama perkhidmatan awam, kata pengerusinya William Leong.
“Pelantikannya tidak melalui jawatankuasa, jadi kami terperanjat.
“Dalam manifesto (Pakatan Harapan), reformasi yang dijanjikan ialah semua pelantikan ke institusi utama harus bebas daripada politik,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Apa janji manifesto Pakatan Harapan?
Pakatan Harapan berjanji semua lantikan ke institusi utama, termasuk SPRM, perlu disahkan oleh Parlimen. Bagaimanapun beberapa pelantikan setakat ini, antaranya ketua polis negara, ketua hakim negara, dan pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya, tidak melalui proses itu.
Dalam satu kenyataan 6 Mei lalu, Leong berkata jawatankuasa yang beliau pengerusikan akan menyemak pelantikan Abdul Hamid Bador sebagai ketua polis negara dan Tengku Maimun Tuan Mat sebagai ketua hakim negara.
Bagaimanapun jawatankuasa itu setakat ini belum mempunyai kuasa undang-undang untuk berbuat demikian.
Pakatan Harapan dalam manifestonya juga berjanji tidak akan melantik ahli politik ke jawatan utama institusi penting.
Beberapa pihak lain termasuk dari DAP dan PKR juga mengkritiknya sebagai lantikan politik. Pengarah Komunikasi PKR Ahmad Fahmi Fadzil menggesa Latheefa keluar parti tetapi segera dijawab oleh peguam itu.
Apa jawab Latheefa mengenai kedudukannya dalam PKR?
Dalam reaksi melalui Twitter, Latheefa berkata beliau sudah menyerahkan surat keluar parti pada Isnin selepas dimaklumkan pelantikannya ke SPRM.
Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution bagaimanapun menafikan menerima surat berhenti parti daripada Latheefa.
Beliau memberitahu Malay Mail, setakat semalam (Rabu, 4 Jun) nama Latheefa masih dalam daftar keahlian.
“Untuk kes berprofail tinggi seperti ini, beliau sepatutnya menulis kepada setiausaha agung. Itu cara yang sepatutnya,” kata Saifuddin.
Apa kata undang-undang mengenai pelantikan Ketua Pesuruhjaya SPRM?
Parlimen tiada peranan dalam urusan pelantikan jawatan di institusi utama, seperti SPRM atau misalnya ketua hakim, ketua polis negara dan ketua suruhanjaya awam yang lain, kata bekas Hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram.
Semua pelantikan utama dibuat oleh Yang Di-Pertuan Agong atas nasihat perdana menteri, sementara jawatankuasa pilihan khas tiada peranan, katanya, seperti dipetik Malaysiakini.
Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 juga tidak meletakkan syarat khusus kelayakan untuk jadi ketua pesuruhjaya agensi itu.
Akta cuma menyatakan Yang Di-Pertuan Agong melantik ketua pesuruhjaya SPRM atas nasihat Perdana Menteri, bagi tempoh dan syarat lain yang disebut dalam surat pelantikan. Ketua pesuruhjaya SPRM juga memegang jawatan atas perkenan Yang Di-Pertuan Agong, atas nasihat Perdana Menteri.
Siapa Latheefa dalam PKR?
Latheefa adalah bekas ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR bagi penggal 2014-2018, mengetuai biro undang-undang. Pada pemilihan untuk penggal itu, beliau mendapat undi paling tinggi untuk menang salah satu daripada 20 kerusi MPP.
Beliau tidak bertanding dalam pemilihan parti pada 2018.
Latheefa dilihat pemimpin yang mendukung Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali, dalam parti yang diketahui umum berpecah pada kem yang dikaitkan dengan pemimpin tertentu.
Beliau lantang mengkritik pemimpin PKR, selalunya melalui sindiran dan kenyataan yang samar-samar di media sosial, termasuk Presiden Anwar Ibrahim. Latheefa menyelar Anwar dengan dakwaan mengamalkan kronisme dan nepotisme dalam pelantikan pemimpin parti negeri selepas pemilihan PKR tahun lalu.
Semasa pemilihan berlangsung, Latheefa menuduh Rafizi Ramli terlibat dalam sabotaj dan rasuah semasa pemilihan parti. Rafizi kalah dalam cubaan menyingkirkan Azmin sebagai timbalan presiden.
Pada September 2017, Latheefa pernah juga berkonflik dengan Rafizi apabila mendedahkan beliau dalang gerakan politik Langkah Kajang (yang membuka kepada pilihan raya kecil di Kajang, Selangor) bertujuan menyekat Azmin daripada jadi menteri besar.
Apa akan jadi selepas ini?
Dalam tempoh tidak sampai 24 jam selepas pengumumannya, pelantikan Latheefa sudah dibaca sebagai pertembungan antara Dr Mahathir Mohamad dan Anwar Ibrahim.
Presiden MCA Wee Ka Siong berharap pelantikan itu bukan satu “konspirasi besar” untuk menyekat Anwar daripada menggantikan Dr Mahathir sebagai perdana menteri.
“Saya rasa terganggu kerana Latheefa diketahui selalu menyerang Anwar,” katanya.
Latheefa kebetulan dilantik ketika beberapa pemimpin PKR sekali lagi secara terbuka membangkitkan pelan peralihan kuasa perdana menteri kelapan.
Minggu lalu, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid meminta Dr Mahathir memberitahu dengan jelas bila sebenarnya beliau akan memberi laluan kepada Anwar untuk menggantikannya.
Ahli Parlimen Sungai Petani Johari Abdul pula dipetik berkata semua masalah di Kedah boleh selesai apabila Anwar jadi perdana menteri menggantikan Dr Mahathir. Menteri Besar Kedah sekarang ialah anak perdana menteri, Mukhriz Mahathir.
Latheefa juga dipilih menerajui SPRM ketika agensi anti rasuah itu berdepan cabaran paling getir sejak penubuhannya pada 1967 iaitu kes-kes yang diberikan perhatian umum, melibatkan pemimpin bekas kerajaan Barisan Nasional serta skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang jadi perhatian dunia. – 5 Jun, 2019.