Iklan

Setinggan pendatang di Sabah, Esscom tak buat penduduk rasa selamat

Jason Santos5 years ago8th Jun 2019Berita
Berhala gallery005
Beberapa perkampungan di pantai timur Sabah menimbulkan rasa tidak senang penduduk setempat kerana didakwa menjadi sarang perlindungan pendatang haram. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2019.
Iklan

PEMANDU e-hailing Mohd Khairul Rahim boleh membawa penumpang ke mana sahaja di Lahad Datu kecuali ke Kampung Puyut yang terletak di teluk di pinggir bandar.

Khairul, 35, berkata beliau dan pemandu Grab yang lain sangat takut untuk masuk ke kawasan itu, kerana penduduknya terkenal dengan sikap panas baran mereka.

Walaupun pihak berkuasa berulang kali melakukan serbuan dan pemantauan dilakukan Zon Keselamatan Timur Sabah (Esszone), penempatan setinggan di kampung tersebut masih digeruni penduduk setempat.

“Telefon bimbit dan wang seorang rakan pemandu Grab dirompak di situ. Sebab itulah kami, pemandu e-hailing tidak akan menerima ajakan untuk ke Kampung Puyut.

“Di situ anda pergi untuk dapatkan syabu. Di situ juga barang berharga anda boleh dirompak. Kampung Puyut memang terkenal sebagai sarang dadah dan kawasan jenayah,” kata Khairul kepada The Malaysian Insight.

Dianggarkan terdapay 6,000 orang setinggan menetap di perkampungan air tersebut yang mula berkembang pada tahun-tahun 80-an apabila jumlah pendatang haram ke Sabah naik mendadak.

Selepas pencerobohan Lahad Datu pada Mac 2013 oleh militan Sulu dari selatan Filipina yang mahu menuntut kawasan itu, Kampung Puyut bersama-sama beberapa perkampungan lain diletakkan di bawah Esszone yang mewajibkan masa berkurung sepanjang malam.

Sabah dilanda masalah pendatang haram yang teruk, kebanyakan mereka berasal dari selatan Filipina yang dakwa penduduk terlibat dalam jenayah dan dadah. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2019.

Ada sebuah surau yang menandakan pintu masuk ke kampung tersebut, di dalamnya ratusan rumah kayu dihubungkan dengan jejambat kayu dibina terapung di seluruh Teluk Darvel Lahad Datu.

Khairul berkata kampung lain di Lahad Datu seperti Kampung Panji dan Kampung Bakau, tidak terlalu berbahaya kerana penguatkuasaan sudah dibuat untuk membasmi pendatang haram, penagihan dadah dan kemungkinan wujud pemberontakan.

“Saya tak pasti bagaimana, walaupun ada serbuan, Kampung Puyut masih jadi kawasan hitam,” kata Khairul lagi.

Pernah satu ketika, Kawalan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) mahu merobohkan Kampung Puyut tetapi dihalang ahli politik tempatan yang “melindungi” kawasan itu, kata penduduk Kampung Puyut yang hanya mahu dikenali sebagai Haji Raman.

“Semua orang tahu yang mereka kebanyakannya pendatang haram dapat perlindungan daripada orang atas, dan rumah mereka tak dimusnahkan ketika serbuan,” katanya.

Seorang lagi penduduk Kampung Puyut, seorang lelaki Bajau bernama Djailani Hussin yang mengaku sudah menerima kewarganegaraan Malaysia, mengakui kampungnya itu boleh jadi kawasan menakutkan pada waktu malam.

Beliau sendiri, walaupun sudah menetap sejak 1992 sejak berpindah dari selatan Filipina, masih berjumpa dengan orang baharu yang tidak pernah ditemuinya sebelum ini.

Esscom ditubuhkan untuk menghalang kejadian penculikan dan lanun di kawasan itu, tetapi beberapa kes penculikan dilakukan militan Filipina masih berlaku sejak pencerobohan 2013. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2019.

Adakah Esscom berkesan?

Esscom kini berdepan rombakan kerana kekurangan peruntukan. Walaupun pada awalnya wujud rancangan untuk memansuhkannya, Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador masih menganggap kewujudannya diperlukan.

Hamid baru-baru ini melawat pusat kawasan dan sedang meneliti kaedah untuk menambah baik operasinya.

Selain Lahad Datu, Esszone juga meliputi Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran, Sandakan, Kinabatangan, Kunak, Semporna dan Tawau- semua terletak di kawasan pantai timur Sabah yang terdedah kepada aktiviti dari selatan Filipina.

Esscom ditubuhkan untuk menghalang kejadian penculikan dan lanun di kawasan itu, tetapi beberapa kes penculikan dilakukan militan Filipina masih berlaku sejak pencerobohan 2013.

Penduduk tempatan yang tinggal dalam perintah berkurung Esscom pula berkata mereka masih dilanda ketakutan walaupun ada kehadiran pasukan bersenjata kerana punca masalah jenayah dan salah guna dadah tidak diatasi sepenuhnya.

Menurut mereka lagi, punca masalah sukar diatasi kerana ia berkait rapat dengan pendatang haram dan kemiskinan di kawasan itu.

Di Semporna, kebanyakan penduduk tempatan mengelak pergi ke Kampung Bangau-Bangau yang dipenuhi pendatang Filipina keturunan Bajau dan Suluk.

Warga Malaysia Rohani Abu Bakar yang menetap di Semporna tetapi bekerja di Kampung Bangau-Bangau berkata penduduk tempatan bimbang penempatan setinggan itu jadi tempat perlindungan pendatang haram.

“Susah nak bezakan orang Bajau dan Suluk tempatan dengan pendatang haram kerana mereka bercakap bahasa sama dan rupa mereka lebih kurang,” katanya yang berusia 45 tahun itu.

“Kebanyakan mereka pula ada hubungan, kerana itu mereka sanggup melindungi pendatang haram yang ahli keluarga mereka.”

Rohani juga percaya, masalah jenayah dan dadah giat berlaku di Kampung Bangau-Bangau kerana kebanyakan penduduknya adalah buruh kasar pembinaan, nelayan, pemandu teksi sapu atau buruh kasar.

“Majikan ambil kesempatan situasi dan kekurangan dokumentasi mereka. Selalunya, mereka dibayar kurang daripada gaji minimum nasional RM1,100.

“Jadi jenayah dan dadah jadi sumber pendapatan penduduk kampung,” katanya, menambah yang penduduk di situ juga mencuri bekalan elektrik dan kampung itu dipenuhi sampah sarap.

Kebanyakan pendatang haram bekerja sebagai buruh pembinaan, buruh kasar, nelayan dan pemandu teksi sapu menyebabkan mereka terlibat dalam jenayah dan dadah untuk menampung gaji tidak cukup. – Gambar fail The Malaysian Insight, 8 Jun, 2019.

Penduduk Tawau, Sulaiman Hasri juga tertanya-tanya mengapa penduduk masih tidak berasa selamat walaupun Esscom wujud.

“Jika awak tinggal berhampiran kawasan setinggan, awak rasa bahaya ada dimana-mana.

“Ini trend yang sangat tidak sihat dan Esscom perlu buat kerja selesaikan kebimbangan penduduk,” katanya.

Djailani yang bekerja sebagai tukang jahit di Kampung Puyut, Lahad Datu pula berkata kemasukan pendatang haram sukar dikawal, kerana pesisir pantai timur Sabah sepanjang 1,400 km sukar dikawal.

Terdapat banyak “lorong tikus” disepanjangnya, tambahnya lagi.

“Walaupun Sabah menghantar semua mereka yang masuk secara haram balik ke Filipina, mereka masih boleh masuk balik tanpa ditangkap pihak berkuasa.” – 8 Jun, 2019.

Iklan
Iklan