Sultan Johor perkenan RTS Link Johor Baru-Singapura
Iklan
RANCANGAN Sistem Transit Aliran Deras Johor Baru-Singapura (RTS Link) akan diteruskan dan ia sudah menerima perkenan Sultan Johor.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Abdul Rahman Dahlan berkata beliau sudah menghadap Sultan Johor minggu lepas berkaitan dengan RTS Link itu.
“Beberapa pandangan yang baginda miliki berpunca daripada maklumat pihak ketiga, kami ceritakan kisah sebenar.
“Kami juga mengambil beberapa idea baginda dan cuba menambah baik aliran itu. Tetapi di akhirnya, baginda bersetuju yang projek itu bermanfaat kepada kedua-dua negara dan perlu dijalankan secepat mungkin.
“Saya tak nampak ada masalah dengan pihak istana,” kata Abdul Rahman menambah yang beliau komited untuk memberi penjelasan mengenai projek itu kepada Sultan Johor daripada semasa ke semasa.
Bulan lepas, Sultan Johor meluahkan kebimbangan serius mengenai bentuk melengkung yang dicadangkan dalam RTS Link serta rancangan membina sebuah jambatan setinggi 30m dari paras air di tengah landasan.
Sultan Johor mengalu-alukan projek itu tetapi merasakan reka bentuk melengkung tidak praktikal dan berkos lebih tinggi. Baginda juga mempersoalkan Prasarana yang mengetuai projek itu kerana merasakan pentadbiran negeri perlu diberikan peranan itu.
Prasarana Malaysia Bhd dan SMRT Corporation Ltd dari Singapura menandatangani memorandum persefahaman (MoU) untuk membentuk sebuah syarikat usaha sama yang akan berperanan sebagai syarikat yang mengoperasikan RTS Link. Syarikat itu akan mereka bentuk, membina, membiayai, mengoperasi, mengawal selia dan memperbaharui landasan yang menghubungkan dua negara itu.
Perjanjian bilateral akan ditandatangani pada Disember depan, pemilikan kepentingan akan diumumkan ketika itu.
Abdul Rahman yang menyaksikan majlis MoU hari ini berkata satu pihak dijangka memegang kepentingan lebih tinggi dalam syarikat usaha sama itu.
“Kita tak boleh ada kepentingan 50-50 kerana kita mungkin berdepan masalah membuat keputusan. Kami tak jangka akan ada isu besar,” katanya, menambah yang Malaysia akan mengetuai projek itu.
RTS Link sepanjang 4km akan menghubungkan Woodlands North MRT ke Bukit Chagar di Johor Baru.
Mengenai kos landasan itu, Abdul Rahman berkata ia masih belum dimuktamadkan.
“Kos itu bergantung kepada penjajaran landasan. Ia akan melibatkan sebuah jambatan menyeberangi tambak,” katanya.
CEO Kumpulan Prasarana, Azmi Abdul Aziz berkata syarikat itu akan diberikan jaminan kerajaan untuk meraih dana daripada pasaran.
Proses bidaan tender secara terbuka akan dimulakan tahun depan dan pembinaan dijangka bermula pada 2019.
Apabila siap pada 2014, RTS Link dijangka berupaya membawa 10,000 pengguna setiap hala dalam setiap jam.
Turut hadir dalam majlis hari ini itu adalah Pengerusi Prasarana Khalid Abu Bakar dan Pengerusi SMRT Seah Moon Ming. – 25 September, 2017.