Iklan

Projek MRT bukti mitos ‘Bumiputera gagal’ tak benar, kata Najib

Amin Iskandar7 years ago25th Sep 2017Berita
Najib razak bumiputera empowerment agenda g20 02
Perdana Menteri Najib Razak hari ini mengatakan mitos Bumiputera gagal adalah tidak benar kerana 51% kerja yang diserahkan kepada Bumiputera dalam projek MRT berjaya disiapkan lebih awal. – Gambar The Malaysian Insight oleh Najjua Zulkefli, 25 September, 2017.
Iklan

PROJEK Transit Aliran Massa (MRT) fasa pertama membuktikan bahawa persepsi membantu Bumiputera akan melambatkan projek dan meningkatkan kos tidak benar, kata Perdana Menteri Najib Razak.

Najib berkata, ini kerana 51% daripada nilai kontrak MRT fasa pertama yang diberikan kepada peniaga Bumiputera berjaya siap lebih awal daripada dijadualkan.

“Projek ikonik projek fasa pertama MRT berjaya agihkan sejumlah RM21.2 bilion dan 51% daripada nilai kontrak diberi kepada kontraktor bumiputera.

“Apa yang saya bangga bukan sahaja soal nilai besar, kita dah buktikan MRT fasa pertama siap lebih awal dari jadual.

“Ini melenyapkan semua persepsi yang salah dan mitos membantu Bumiputera bermakna akan menyebabkan projek tertangguh dan meningkatkan kos,” kata Najib semasa berucap di Agenda Pemerkasaan Bumiputera G20 di Kuala Lumpur hari ini.

Projek MRT fasa pertama yang meliputi jarak 51 kilometer berserta 31 stesen siap pada 16 Disember 2016, 16 hari lebih awal daripada dijadualkan.

Najib berkata, kerajaan tidak mahu pencapaian Bumiputera terhad kepada dua dimensi sahaja, sebaliknya mereka perlu keluar daripada kepompong kemiskinan.

Beliau berkata, sebaik agenda pemerkasaan tranformasi nasional diumumkan pada 2013, beliau mahu Bumiputera mempunyai potensi dari segi ekuiti yang lebih luas sehingga mereka boleh berdikari.

“Sudah sampai masanya pencapaian Bumiputera ini keluar dari kemiskinan dan berdikari dengan pengagihan ekuiti oleh kerajaan menerusi agenda pemerkasaan Bumiputera G20.

“Kita mahu Bumiputera terutama dalam kalangan usahawan baharu dapat membangunkan modal insan dan intelektual capital dengan mengukuhkan syarikat masing-masing,” katanya.

Turut hadir dalam program itu ialah Menteri Komunikasi dan Multimedia Salleh Said Keruak, Pengarah Urusan Khazanah Nasional Berhad Azman Mokhtar dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Telekom Malaysia (TM) Mohammed Shazalli Ramly.

Menurut Najib, menerusi agenda G20, kerajaan tidak mahu lagi melihat orang Melayu atau Bumiputera tinggal di Kampung Baru dan Kampung Keramat sahaja, tetapi mereka perlu lebih maju dengan melihat konsep untuk membangunkan mereka dari sudut dimensi yang lebih luas.

Katanya, jika ada kelemahan asas, kerajaan akan menolong mereka supaya menjadi usahawan yang dapat berdiri di kaki sendiri dan mempunyai kekuatan diri dalam menempoh dunia moden ekonomi.

“Saya telah cadangkan dasar pemerkasaan Bumiputera ini diganti dengan dasar kesejahteraan Bumiputera. Ia lebih luas dan dimensinya lebih bermakna kerana ia mempunyai kemampuan.

“Sejak dasar ini dilaksanakan, kita lihat inisiatif di bawah pemerkasaan ini berjaya menjana kira-kira RM114 bilion sehingga kini. Saya puas hati dan tertarik dengan dasar ini,” katanya.

Najib turut berkata, hanya ada satu pihak yang mempunyai agenda pemerkasaan Bumiputera.

“Inilah komitmen kita yang amat jelas, jadi tiada siapa pun yang harus mempertikaikan komitmen kita.

“Dan komitmen ini adalah jelas cuma satu-satu sahaja pihak yang ada komitmen agenda pemerkasaan Bumiputera. Jadi faham-faham sahajalah,” katanya. – 25 September, 2017.

Iklan
Iklan