Usaha pembiakan badak, Malaysia runding semula dengan Indonesia
Iklan
SABAH akan memulakan semula rundingan untuk program pembiakan badak Sumatera dengan Indonesia yang dijadualkan minggu depan di antara pegawai daripada kedua-dua pihak.
Timbalan Ketua Menteri Sabah Christina Liew berkata beliau dan Pengarah Jabatan Hidupan Liar Sabah Augustine Tuuga akan bertemu dengan pegawai dari pejabat konsul Indonesia pada 11 Jun.
Sabah sedang merisik untuk pasangan Iman, badak betina tunggal dan satu-satunya badak Sumatera yang masih hidup di Lahad Datu untuk disenyawakan dengan spesimen badak jantan dari Indonesia.
Perbincangan akan dilakukan dalam lawatan ke Jakarta dan Acheh, di mana menurut Liew, perbincangan dengan jabatan hidupan liar Indonesia akan diadakan untuk memulakan program pembiakan.
Beliau berkata terdapat 13 memorandum yang dirancang untuk memulakan program pembiakan, tetapi tidak ada lagi daripadanya yang ditandatangani kerajaan Indonesia.
“Rundingan lepas telah diadakan dalam dekad yang lalu. 13 MoU sepatutnya ditandatangani bagi program pembiakan.
“Mereka meminta agar anak badak pertama itu dibawa ke Indonesia, jadi kami akan meminta mereka untuk menyuburkan lebih dari seekor badak,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada sambutan Hari Raya Kerajaan Negeri di Kota Kinabalu hari ini.
Sabah kini kesuntukan masa bagi memastikan survival badak Sumatra di negeri itu, selepas kematian badak jantan terakhirnya, Tam, pada 27 Mei lalu, akibat kegagalan organ dan usia tua.
Dalam pada itu, tubuh Tam juga akan dipelihara dan ditempatkan di Muzium negeri, kata Liew.
Beliau telah memberikan arahan kepada jabatan hidupan liar berkenaan usaha tersebut dan kerja-kerja bagi merealisasikannya sedang dijalankan.
“Saya juga akan bertemu dengan pengarah Muzium Negeri untuk membiarkan Tam disemadikan sana.
“Semuanya akan selesai dalam beberapa bulan akan datang,” katanya lagi. – 9 Jun, 2019.
—-