Shafie pertahan pelantikan bendahari DAP Sabah sebagai wakil rakyat
Iklan
TIDAK ada undang-undang yang menghalang Loh Ee Eng yang kini telah menjadi warga Sabah untuk dicalonkan sebagai wakil rakyat, kata Ketua Menteri Sabah Mohd Shafie Apdal hari ini.
Loh, bendahari DAP negeri itu, telah menjalani kehidupan di Sabah selama bertahun-tahun, kata Shafie yang menolak gesaan untuk mengkaji semula pelantikannya sebagai salah seorang wakil rakyat dalam dewan undangan negeri.
“Tidak akan ada semak semula mengenai perkara itu. Ia telah dicadangkan dan dikemukakan oleh parti dan oleh itu, kita mesti hormat cadangan DAP.
“Sebagai rakyat Malaysia dan warga Sabah, bahkan sebagai pengundi di Sabah, Loh layak,” kata Shafie kepada pemberita pada sambutan Hari Raya Kerajaan Negeri di Kota Kinabalu.
Kerajaan negeri yang dipimpin oleh Warisan telah dikritik parti-parti pembangkang terutamanya Umno dan Parti Bersatu Sabah (PBS) berikutan pelantikan Loh.
Pencalonan beliau tampil hasil kemenangan DAP dalam pilihan raya kecil Sandakan pada 11 Mac, dan beliau berada di bawah kuota parti untuk lantikan wakil rakyat.
Loh dilahirkan di Pulau Pinang dan berpindah ke Sabah 40 tahun lalu mengikut ibu bapanya. Beliau telah diberikan status pemastautin tetap di Sabah pada tahun 1999 dan juga merupakan penerima pingat Ahli Darjah Kinabalu oleh Yang di-Pertua Negeri Sabah.
PBS menuduh kerajaan Shafie gagal menghormati semangat Perjanjian Malaysia dengan membenarkan pelantikan Loh. Seorang pemimpin Umno Sabah juga menuduh Warisan melanggar slogan “Sabah untuk Sabah”.
Shafie berkata tidak ada gunanya mempolitikkan pelantikan Loh kerana kerajaan negeri memberi tumpuan kepada isu-isu yang lebih mendesak.
“Masih ada penduduk Sabah yang mencari pekerjaan dan berusaha untuk mencari nafkah. Memajukan pembangunan yang lebih baik lebih penting bagi kita untuk terus ke hadapan,” katanya. – 9 Jun, 2019.