Najib sentiasa tahu keputusan SRC International, kata saksi
Iklan
KEPUTUSAN yang dibuat oleh Lembaga Pengarah SRC International perlu dilapor kepada Najib Razak, saksi memberitahu mahkamah, hari ini.
Ahli Lembaga Pengarah SRC International dari dari 2011 hingga 2014, Ismee Ismail hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur bahawa Najib sentiasa diberi taklimat oleh Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Nik Faisal Ariff Kamil.
Nik Faisal merupakan “perantara” antara SRC International dengan bekas perdana menteri, katanya.
Ismee, 65, yang juga bekas pengarah di 1Malaysia Development Bhd (1MDB) juga merujuk kepada minit mesyuarat pada 7 September 2011, di mana Nik Faisal didakwa memberi taklimat kepada lembaga pengarah berkenaan pertemuannya dengan Najib. Ismee juga berkata Najib adalah “penasihat emiritus” SRC International.
Ketika menerangkan mengenai minit mesyuarat itu, Ismee berkata lembaga pengarah dimaklumkan bahawa memandangkan 1MDB adalah pemegang saham SRC International, ia berhak tahu mengenai pertemuan dengan Najib dan Lembaga Penasihat 1MDB.
Lembaga pengarah SRC International terdiri daripada Ismee, Nik Faisal, Suboh Yassin, Che Abdullah@Rashidi Che Omar dan Shahrol Azral Ibrahim Halmi. Nik Faisal masih dicari oleh pihak polis.
Merujuk kepada minit mesyuarat itu, Ismee berkata SRC International akan sentiasa mengemukakan laporan kepada bekas perdana menteri itu dan ini tidak dibantah oleh ahli lembaga pengarah.
Tambah beliau, minit mesyuarat tersebut kemudiannya dirampas oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Peguam bela, Harvinderjit Singh membantah minit mesyuarat itu dikemukakan sebagai bukti, berkata ia adalah “dokumen palsu”.
Harvinderjit berhujah bahawa pasukan peguam bela hanya mendapat satu salinan dokumen pada 17 Mei lalu.
Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali kemudian berkata minit mesyuarat itu perlu ditandakan untuk tujuan pengenalan, tidak difailkan sebagai bukti.
Harvinderjit berkata pasukan peguam bela bercadang untuk mencabar kesahihan minit mesyuarat tersebut semasa sesi soal balas. – 10 Jun, 2019.