Tunggu produktiviti naik baru naikkan gaji minimum, kata majikan
Iklan
PUTRAJAYA tidak seharusnya menaikkan gaji minimum sehingga dapat menampung 50% daripada kenaikan gaji, kata Persekutuan Majikan Malaysia (MEF).
Malah katanya, majikan juga masih bergelut dengan produktiviti rendah dan keadaan ekonomi global yang suram.
The Wages Consultative Council mengkaji semula gaji minima setiap dua tahun dengan semakan berikutnya akan dibuat pada 2021.
Kerajaan telah menaikkan gaji minimum dari RM1,050 kepada RM1,100 mulai 1 Januari tahun ini.
Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran berkata, Jawatankuasa Teknikal Perundangan Gaji Negara diharapkan dapat menghantar cadangan baharu pada Ogos 2020.
Ketua Eksekutif MEF Shamsuddin Bardan berkata, jawatankuasa teknikal telah memulakan perbincangan dengan pihak berkepentingan.
“Perbincangan sudah bermula. Terutamanya mengenai membina rangkaian perlindungan untuk pekerja tetapi tidak melihat produktiviti pekerja.
Beliau berkata, walaupun kerajaan komited menaikkan gaji minimum kepada RM1,500, mereka juga berjanji untuk mensubsidi setengah daripada jumlah yang meningkat.
“Tetapi kerajaan mengatakan tidak mempunyai wang untuk mensubsidi kenaikan ini. Ia tidak sepatutnya berlaku.
“Sekiranya gaji minimum RM1,500 tetapi tidak ada elaun, ia tidak adil kepada majikan,” katanya.
Produktiviti rendah cabaran terbesar syarikat
Presiden Persatuan Perusahaan Kecil dan Sederhana Michael Kang berkata, cabaran terbesar yang dihadapi oleh kebanyakan syarikat adalah produktiviti rendah yang mana peningkatan kos akan berlaku sekiranya gaji minimum dinaikkan.
“Keadaan ekonomi sekarang terlalu buruk. Tak guna bercakap tentang gaji minimum baharu pada 2021. Ia terlalu awal.
“Adalah wajar untuk menaikkan gaji minimum selepas latihan yang lebih baik,” katanya.
Walaupun produktiviti Malaysia kini menduduki tempat kedua di Asia Tenggara, namun masih tertinggal di belakang Singapura.
Produktiviti tahunan pekerja Malaysia tidak lebih dari RM100,000 manakala pekerja Singapura melebihi RM200,000.
Walaupun Singapura tidak ada gaji minimum, gaji yang dicadangkan untuk pembersih pejabat adalah SGD1,000 (RM3,050).
“Banyak pengeluar keluar dari China pada masa ini tetapi kita tidak berada dalam skop pertimbangan mereka kerana lebih memilih Vietnam. Kadar pertumbuhan Vietnam dijangka melepasi Singapura pada 2027.
“Pada masa ini, majikan sangat bimbang tentang hakikat apabila kerajaan melaksanakan dasar baharu, ia tidak menumpukan pada peningkatan produktiviti tetapi lebih banyak mengenai peningkatan kos,” katanya.
Shamsuddin berkata, pekerja mesti mempunyai akses kepada latihan yang dibiayai oleh kerajaan sama ada sektor awam atau swasta untuk meningkatkan kemahiran dan produktiviti mereka sekiranya gaji minimum dinaikkan.
“Ada cara untuk meningkatkan produktiviti. Perkara utama adalah memberi kebolehan pekerja termasuk keupayaan menguasai pelbagai kemahiran dan melakukan pelbagai tugas pada masa sama.
“Pekerja perlu menaikkan kemahiran mereka sementara majikan mengguna pakai teknologi baharu dan menggabungkannya untuk meningkatkan produktiviti keseluruhan syarikat,” katanya. – 11 Jun, 2019.