LANGSUNG: Bekas pengarah SRC International disoal tentang minit mesyuarat dengan Najib
Iklan
PERBICARAAN kes SRC International membabitkan Najib Razak masuk hari ke-22 hari ini, dengan saksi ke-9 – bekas pengerusi lembaga pengarah SRC International Ismee Ismail – menyambung keterangan.
Ismee dijangka disoal balas oleh peguam hari ini berhubung minit mesyuarat antara CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan Najib yang juga bekas perdana menteri.
Mesyuarat itu berlangsung pada 7 September, 2012, kira-kira enam bulan selepas Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) mengeluarkan pinjaman kedua RM2 bilion kepada SRC International.
Ismee semalam memberitahu mahkamah bahawa ahli lembaga pengarah SRC International dimaklumkan mengenai mesyuarat itu oleh Nik Faisal pada 13 September.
Katanya, lembaga pengarah dimaklumkan dalam mesyuarat itu Najib meluluskan untuk memasukkan RM1.5 bilion ke bank Swiss, BSI Ltd dan RM300 juta lagi ke Julius Baer Group di Hong Kong.
Wang itu sebahagian daripada pinjaman pertama SRC International yang dibuat pada Ogos, 2011.
Pihak pembela membantah pendakwa raya menyerahkan salinan minit mesyuarat 7 September itu, berkata Najib menafikan keasliannya, mengatakan ia “dokumen palsu”.
Peguam berkata kewujudan minit mesyuarat itu tidak dimaklumkan oleh setiausaha syarikat dan ahli lembaga pengarah tidak pernah membentangkannya untuk dibincangkan.
Pendakwa raya berkata minit itu boleh diterima di bawah Akta Anti Pengubahan Wang Haram dan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Selepas perbincangan, Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali memutuskan minit mesyuarat itu ditanda dengan ID, atau bagi tujuan pengenalan, tanpa difailkan lagi sebagai bukti.
Ismee turut memberitahu mahkamah beliau akhirnya meletak jawatan sebagai pengarah dan pengerusi lembaga pengarah SRC International pada 2014 kerana “isu pentadbiran” yang dibawa oleh CEO ketika itu Nik Faisal.
Ismee, yang kemudian menjadi CEO Tabung Haji, berkata beliau menghantar surat peletakan jawatan pada 6 Mei, 2014 dan meninggalkan syarikat itu secara rasmi pada 15 Ogos, 2014.
“Saya letak jawatan kerana tidak bersetuju dengan cara SRC International diuruskan oleh CEO ketika itu, Nik Faisal, terutama berkaitan akaun dan kewangan syarikat,” katanya.
Ismee, seorang akauntan dilantik sebagai pengarah 1Malaysia Development Bhd pada 2009. Beliau, bersama empat yang lain, dilantik sebagai ahli lembaga pengarah SRC International pada 1 Ogos, 2011.
Empat yang lain ialah Nik Faisal, Suboh Yassin, Che Abdullah@Rashidi Che Omar dan Shahrol Azral Ibrahim Halmi. Nik Faisal sedang dicari oleh polis dan masih melarikan diri di Indonesia, menurut laporan.
Pertuduhan terhadap Najib dalam perbicaraan ini berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International pada 2011 dan 2012, di mana beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.
Beliau berdepan tiga tuduhan pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu tuduhan salah guna kuasa. Jika disabitkan, bekas perdana menteri itu boleh dihukum penjara hingga 20 tahun.
Najib, 66, diwakili oleh sepasukan peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah.
Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwa raya. – 11 Jun, 2019.
The Malaysian Insight membawakan kepada anda prosiding mahkamah secara langsung:
5.27pm: Hakim Nazlan menangguhkan prosiding hari ini. Perbicaraan akan diteruskan pada jam 9 pagi esok.
4.35pm: Prosiding bersambung. Harvinderjit teruskan menyoal balas Ismee.
Harvinderjit bertaya sama ada seseorang yang bertindak sebagai wakil MoF Inc boleh berada dalam lembaga pengarah SRC International. Ismee jawab tidak tahu.
Harvinderjit menyemak pindaan Fasal 117 Memorandum dan Artikel Penubuhan Syarikat SRC International.
Ismee beritahu mahkamah SRC International tidak mempunyai penasihat khas selain Najib.
4.09pm: Mahkamah berhenti rehat 10 minit atas permintaan saksi.
3.59pm: Harvinderjit menyemak kenyataan Ismee. Beliau meminta Ismee menjelaskan kenyataan yang menyebut Nik Faisal menjadi perantara bagi lembaga pengarah dan Najib sebagai penasihat emeritus.
3.32pm: Ismee berkata beliau tidak mengenali Suboh Yassin yang juga ahli lembaga pengarah SRC International, sebelum menyertai syarikat tersebut.
3.09pm: Harvinderjit bertanya adakah Ismee tahu mengenai surat yang ditulis oleh Nik Faisal kepada kerajaan untuk meminta RM3.05 bilion dari KWAP. Ismee berkata beliau tidak tahu.
Harvinderjit kemudian meminta Ismee jelaskan mengapa beliau dipilih untuk sertai SRC International.
Harvinderjit: Kenapa kamu (dipilih)?
Ismee: Saya tak tahu.
2.42pm: Prosiding disambung semula. Saksi, Ismee Ismail mengambil tempat di kandang saksi untuk disoal balas oleh Harvinderjit Singh.
Harvinderjit: Bila kamu dapat tahu yang kamu dipilih sertai SRC International?
Ismee: Pada 2011 saya diberitahu oleh lembaga pengarah 1MDB yang saya akan terlibat dalam SRC International.
Ismee berkata ketika menyertai, beliau tidak diberi taklimat mengenai SRC International. Kata Ismee, beliau hanya diberi taklimat ketika mesyuarat lembaga pengarah.
Beliau berkata mungkin pernah mendengar mengenai SRC International sebelum pelantikannya, sambil menambah beliau tidak diberi taklimat mengenai urusan SRC International.
1.02pm: Harvinderjit bertanya adakah pengarah SRC dilantik oleh 1MDB, Ismee jawab ya, tetapi ia dilakukan menerusi resolusi pemegang saham.
Harvinderjit berkata tiada resolusi dalam minit mesyuarat yang mencadangkan 1MDB membuat resolusi untuk melantik pengarah SRC.
Ismee berkata pemegang saham syarikat induk boleh melantik pengarah untuk anak syarikat.
Harvinderjit kemudian mencelah, tetapi Sithambaram memaklumkan kepada hakim bahawa peguam sepatutnya tidak memotong ketika saksi sedang menjawab soalan.
Mahkamah berhenti rehat makan tengah hari.
12.49pm: Ismee berkata beliau tidak ingat sama ada Nik Faisal ada membenarkan untuk SRC diperbadankan.
Ismee berkata ada resolusi ditandatangani oleh perdana menteri pada masa itu melantik Nik Faisal sebagai pengarah SRC.
Harvinderjit bertanya bagaimana pengarah dilantik dalam SRC. Ismee berkata semua pengarah dilantik oleh perdana menteri menerusi resolusi.
Harvinderjit: Anda katakan ketika menyertai SRC, anda lihat resolusi yang perdana menteri melantik Nik Faisal sebagai pengarah SRC?
Ismee: Ia resolusi lembaga pengarah 1MDB.
12.15pm: Harvinderjit: Dalam fikiran anda, anda dilantik sebagai pengarah SRC International untuk mewakili 1MDB?
Ismee: Ia tidak dimaklumkan begitu kepada saya, tetapi pada pandangan saya, saya dilantik oleh SRC untuk mewakili 1MDB.
Ismee berkata beliau tidak pernah ditanya siapa wakil korporat 1MDB ke SRC.
Katanya, agak biasa untuk fikir beliau dilantik untuk mewakili 1MDB.
12pm: Harvinderjit bertanya tentang geran permulaan SRC International RM20 juta. Beliau bertanya adakah 1MDB tahu mengenainya.
Harvinderjit bertanya siapa Vincent Koh dan Daniel. Ismee berkata beliau tahu mereka bersama 1MDB.
11.15am: Ismee berkata Najib tidak pernah bertemunya berkaitan hal SRC International.
Saksi berkata, dalam SRC International, pengurusan yang berurusan dengan pemegang saham.
Ismee berkata pada 2009, Tan Sri Nordin adalah CEO 1MDB.
10am: Harvinderjit dan pendakwa raya Sithambaram bertikam lidah, yang berkata Harvinderjit bertanya soalan tetapi memotong bila saksi sedang memberi jawapan.
Harvinderjit menafikan berbuat demikian, Sithambaram kata peguam melakukannya dan minta Harvinderjit membiarkan saksi menjawab.
Ismee berkata beliau tahu ID499 ada dalam simpanannya, menyebabkan beliau mencarinya di rumah.
Harvinderjit bertanya berapa kali mesyuarat SRC International dihadiri oleh CEO 1MDB.
Ismee berkata mungkin dua pada 2011.
Harvinderjit mengeluarkan dokumen memperincikan pengalaman kerja Ismee.
Mereka menyemak dokumen itu bersama. Ia menunjukkan antara lain, Ismee pernah menjadi pedagang forex di Shell.
Ismee berkata beliau memegang lima atau enam jawatan di Shell.
Ismee berkata minit mesyuarat yang ada dalam simpannya adalah daripada pengurusan SRC.
9.20am: Ishak menamatkan soalan.
Harvinderjit Singh memulakan soal balas.
Harvinderjit bertanya kepada Ismee bila kali pertama beliau disoal siasat oleh SRPM.
Ismee berkata pada 2015, tetapi tidak ingat bulan berapa.
Katanya, beliau disoal siasat sekali lagi pada 2018.
Ismee berkata ada dua atau tidak kali sesi beliau bersama SPRM untuk menyiapkan keterangan saksinya.
Harvinderjit berkata keterangan saksi Ismee hanya enam muka surat.
9am: Bekas pengarah SRC International Ismee Ismail dipanggil semula memberi keterangan.
Pendakwa raya Ishak Mohd Yusoff mula menyoal saksi.