Iklan

Pengundi Melayu Dusun Tua masih curiga dengan DAP

Radzi RazakBede Hong7 years ago26th Sep 2017Berita
Kleptocracy roadshow hululangat tminazirsufari 271
Penolong Setiausaha Wanita Kebangsaan DAP, Young Syefura Othman berucap semasa program 'Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Hulu Langat, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 September, 2017.
Iklan

KESUNGGUHAN DAP untuk bertanding di beberapa kerusi yang dimenangi oleh PAS di Selangor dalam pilihan raya umum (PRU) yang lalu belum cukup menangkap imaginasi pengundi terutamanya dalam kalangan pengundi Melayu — setidak-tidaknya itulah yang dilihat di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Dusun Tua, dalam kawasan Parlimen Hulu Langat, malam tadi.

Dalam kalangan aktivis politik setempat, mereka merasakan pengundi Melayu masih sukar hendak mewakilkan suara kepada DAP berbanding Bersatu, PKR atau pun Amanah.

“Kalau orang kampung ‘totok’ masih tak boleh terima DAP. Hanya orang kampung yang terbuka minda akan terima dan lihat maklumat yang dibawa, dan anggap DAP bukan masalah besar,” kata aktivis politik setempat, Saleh Din kepada The Malaysian Insight.

Beliau ditemui pada program “Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi” di Hulu Langat, malam tadi. Majlis yang menampilkan antaranya Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang dan Tony Pua itu dihadiri oleh hampir 100 orang.

Selepas perpecahan Pakatan Rakyat pada pertengahan 2015, kawasan DUN Dusun Tua menyaksikan kempen yang sengit untuk menarik undi Melayu yang ketika itu terlihat terbahagi tiga kepada Umno, PAS dan Amanah.

Selepas perpecahan itu, Pengerusi DAP Selangor, Tony Pua mengumumkan kesediaan parti itu bertanding di semua kerusi yang dimenangi oleh PAS dalam PRU ke-13.

Tidak lama selepas pengumuman itu, DAP meletakkan Penolong Setiausaha Wanita Kebangsaannya, Young Syefura Othman sebagai penyelaras DUN Dusun Tua. Syefura kemudiannya juga dilantik sebagai Ahli Majlis Perbandaran Kajang.

Syefura, 27, mengakui DAP berdepan cabaran besar untuk mendekati kelompok orang Melayu yang tinggal di pinggir Kuala Lumpur itu. Menyedari beliau mengendalikan kawasan kampung Melayu, Syefura berkata dia menganjurkan program latihan kemahiran seperti kelas menjahit dan memasak.

“Tidak dinafikan memang ada syak wasangka pada mulanya kerana saya daripada DAP. Jadi kita cuma beri fokus pada perkara-perkara yang dekat dengan mereka dan boleh membantu mereka. Generasi muda lebih mudah menerima.

“Kami hendak tunjuk bahawa DAP juga prihatin dengan keadaan penduduk di luar bandar. Kami mahu membuang sentimen kaum,” katanya kepada The Malaysian Insight.

Ketua Parlimen DAP Lim Kit Siang turut hadir pada program 'Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Hulu Langat, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 September, 2017.

Syefura percaya isu-isu seperti pengangguran dan peluang pekerjaan serta kos sara hidup yang tinggi — dan bukan perkauman — adalah sandaran terbaik DAP untuk merampas kerusi DUN Dusun Tua daripada PAS dalam pilihan raya akan datang.

Pada pilihan raya yang lalu, calon PAS Razaly Hassan menang kerusi DUN Dusun Tua mengalahkan calon Barisan Nasional (BN), Ismail Sani dari Umno yang juga penyandang sejak 2008 dengan majoriti 4,071 undi.

Ia merupakan sejarah bagi PAS, menembusi kawasan itu untuk kali yang pertama sekaligus memberi Pakatan Rakyat ketika itu kemenangan besar di Selangor.

Kerusi itu mempunyai 53% pengundi Melayu, 38% Cina dan 7% India.

Tetapi biarpun PAS menang pada 2013, kawasan Dusun Tua tetap kubu kuat Umno dan BN. Pada PRU 2008, BN menang dengan majoriti 1,963. Ketika Pakatan Rakyat menang besar dalam PRU13 pun, sokongan itu tidak datang daripada pengundi Melayu, kata Saleh.

Saleh, umur dalam lingkungan 30-an dan bekerja sendiri, mengakui kawasan itu merupakan kubu kuat Melayu yang sukar ditembusi oleh pembangkang. Beliau bercerita bagaimana ketika PRU13, orang Melayu di Dusun Tua sedikit pun tidak peduli dengan aktiviti parti-parti pembangkang seperti ceramah kelompok atau pidato.

“Sebelum perpecahan PAS daripada Pakatan Rakyat pun, dari Kampung Melaka hingga ke Hulu Pangsun, Pakatan kalah semua daerah mengundi,” katanya yang menetap di Batu 16, Hulu Langat.

Ditanya apakah keadaan kini berubah dengan DAP yang semakin aktif di kawasan itu, Saleh berkata kehadiran DAP tidak memberikan kesan besar sehinggalah Bersatu muncul dalam arena politik tahun lalu.

“Kalau buat program penerangan begini orang tak datang, ceramah kelompok pun tak penuh. Penerimaan terhadap Pakatan sebelum dan selepas PAS sama sahaja tanpa Bersatu.

“Dengan adanya Bersatu di sini, ada juga orang yang bukan ahli mana-mana parti keluar nak dengar isu semasa yang disampaikan,” kata Saleh.

Sentimen sama turut dikongsi oleh seorang pengundi Dusun Tua yang hanya mahu dikenali sebagai Pak Din.

Pak Din yang ditemui berhampiran tapak ceramah malam tadi berkata penduduk Melayu di kawasan itu masih sukar untuk menerima DAP walaupun mengaku Syefura melakukan kerja dengan baik.

“Bersatu dan Amanah lebih senang masuk sini berbanding dengan DAP di sini,” katanya. Dia tidak menunggu ceramah selesai tetapi pulang separuh jalan.

Selain Lim dan Pua, ceramah malam tadi membariskan Ketua Sekretariat Pakatan Harapan, Saifuddin Abdullah; Naib Presiden Bersatu, Abdul Rashid Asari; Naib Presiden Amanah, Hasanudin Mohd Yunus. Syefura bertindak sebagai pengerusi majlis.

Rata-rata hadirin yang datang mula pulang selepas penerangan Pua mengenai 1MDB sebelum slot Rashid dan Hasanudin dengan hanya kebanyakan aktivis, ahli parti dan kira-kira 30 hadirin kekal hingga majlis tamat sebelum tengah malam.

Kebimbangan terhadap sokongan orang Melayu di kawasan tersebut turut diakui Naib Pengerusi Amanah Hulu Langat, Rusman Abu Samah.

Rusman yang tinggal berhampiran Batu 14, Hulu Langat berkata beliau sendiri turut berhadapan dengan persepsi buruk yang disebarkan mengenai DAP sehingga menyebabkan Amanah terpalit.

“Persepsi masyarakat Melayu dimomokkan oleh kerajaan BN yang kata Amanah kuda tunggangan DAP.

“DAP prinsipnya sama, dari dulu tak berubah. Amanah pun sama, memperjuangkan negara keadilan dan rahmah.

Basically kami explain kepada dia (orang yang tidak percaya Pakatan Harapan), Amanah mengisi kekosongan (PAS) itu. Kalau Amanah tak isi kekosongan itu, lagi banyak fitnah yang timbul,” katanya.

Syefura bagaimanapun masih yakin DUN Dusun Tua masih boleh dimenangi Pakatan Harapan sekiranya sokongan penuh masyarakat Cina yang meliputi kira-kira 37% pengundi itu kekal teguh.

“Untuk Melayu mungkin mereka terkejut lagi. Betul, ada  orang cakap (bila) nampak Roket di sini, mereka masih lagi was-was.

“Masa saya masuk buat program pun saya tidak bawa DAP besar-besar. Saya bawa (diri) sebagai wanita Melayu dan sebagai ahli majlis untuk mengenali masyarakat setempat,” kata beliau.

Tetapi bagi Mohd Amir Haikal, yang kini antara tenaga penggerak jentera Pakatan Harapan di kawasan ini, faktor Dr Mahathir Mohamad sangat kuat dalam kalangan pengundi Melayu.

“Dr Mahathirlah yang yakinkan ibu ayah saya bagaimana teruknya keadaan sekarang,” katanya.

“Dua tahun saya cuba beritahu mereka berbilion duit kita hilang. Mereka tidak percaya. Kemudian saya tunjuk video Dr Mahathir berucap, baru mereka percaya.” – 26 September, 2017.

Sebilangan orang ramai yang hadir pada program 'Selamatkan Malaysia, Hapuskan Kleptokrasi' di Hulu Langat, malam tadi. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 26 September, 2017.

Iklan
Iklan