Iklan

Peguam Najib minta tangguh, mahu periksa keterangan Ismee

Timothy Achariam5 years ago13th Jun 2019Berita
Src day 24 130619 tmiseth 04
Keterangan Ismee Ismail dirasakan pihak pendakwaan ada percanggahan, memerlukan penelitian semula. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 13 Jun, 2019.
Iklan

PERBICARAAN kes Najib Razak ditangguh kepada esok pagi bagi membolehkan peguamnya memeriksa sebarang percanggahan dalam keterangan diberikan bekas pengerusi Lembaga Pengarah SRC International Ismee Ismail yang masuk hari keempat.

Peguam bela memberikan tumpuan kepada keterangan Ismee- saksi ke-39 pendakwaan- bahawa Lembaga Pengarah SRC International mengikut resolusi dibuat pemilik kepentingan syarikat.

Ini berbeza dengan keterangan bertulisnya.

Awal minggu ini, ketika merekod keterangan saksinya, Ismee berkata lembaga pengarah mengikut nasihat Najib yang merupakan penasihat emeritus SRC International.

Ketua peguam bela Shafee Abdullah memberitahu Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali yang mereka perlu meneliti transkrip saksi sejak minggu lepas untuk melihat sekiranya wujud percanggahan.

“Kami perlu tengok transkrip saksi, dan lihat jika ada perkara yang bercanggah.

“Kami juga perlu melihat resolusi lembaga pengarag SRC lagi dan mengkaji transkrip setakat ini berkenaan keperluan lembaga untuk menerima arahan daripada Najib,” katanya.

Shafee menambah yang pasukan pembelaan juga perlu berbincang sebelum memutuskan langkah seterusnya berdepan pendakwaan.

Timbalan Pendakwa Raya V Sithambaram yang mengetuai pasukan pendakwaan bersetuju dengan permohonan menangguhkan prosiding sehingga esok.

Nazlan membenarkan perbicaraan disambung esok jam 9 pagi.

Najib berdepan tujuh pertuduhan jenayah melibatkan dana RM42 juta milik SRC International, bekas anak syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB). – 13 Jun, 2019.

Iklan
Iklan