Iklan

Umno, PAS yakin menang di Selangor dalam pertandingan 3 penjuru

Amin Iskandar7 years ago26th Sep 2017Berita
Umno-pas-flag
Pilihan Raya Umum Ke-14 bakal menyaksikan pertembungan sengit antara PAS, Barisan Nasional yang diterajui Umno dan Pakatan Harapan dalam menawan hati dan akal pengundi Selangor, negeri terkaya di Malaysia. – Gambar fail The Malaysian Insight, 26 September, 2017.
Iklan

BARISAN Nasional (BN) dan PAS sama-sama yakin akan dapat menawan Selangor pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) ketika pesaing mereka Pakatan Harapan (PH) optimis akan kekal memerintah negeri itu walaupun ada kemungkinan pertembungan tiga penjuru.

Setiausaha Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN Selangor, Budiman Mohd Zohdi berkata perpaduan Umno sebagai tunjang BN kini berada pada tahap yang tertinggi dan tidak mustahil Selangor akan berjaya ia tawan semula.

“Perpaduan dalaman Umno pada tahap yang paling tinggi, semua mantan menteri besar sudah menyatakan persetujuan untuk membantu BN menawan kembali Selangor,” kata ADUN Sungai Panjang itu kepada The Malaysian Insight.

Dalam dua pilihan raya umum lalu, Umno dan BN tewas dalam pertembungan dua penjuru.

Sementara itu, Pengarah Pilihan Raya PAS Selangor, Roslan Shahir Mohd Shahir mendakwa parti Islam itulah sebenarnya yang ada kelebihan sekiranya berlaku pertandingan tiga penjuru pada PRU14 nanti, yang kemungkinannya tidak dapat dielak lagi.

Beliau menyandarkan keyakinannya itu pada prestasi baik perkhidmatan exco-exco PAS dalam kerajaan negeri Selangor dan wakil-wakil parti itu di semua peringkat pimpinan negeri.

Rakyat Selangor juga, katanya, bersikap terbuka dan bijak serta akan memilih parti yang bersih dan mempunyai rekod cemerlang.

“Antara faktor yang menyumbang kepada keyakinan ini adalah kerana prestasi dan khidmat bukan sahaja exco-exco dan ADUN PAS yang cemerlang dan disenangi rakyat malah begitu juga wakil-wakil lantikan politik dari kalangan ahli-ahli majlis pihak berkuasa tempatan (PBT) dan ketua-ketua kampung,” kata Roslan kepada The Malaysian Insight.

Roslan menambah masyarakat di Selangor juga termasuk pegawai dan kakitangan kerajaan negeri memberikan sambutan yang memberangsangkan kepada parti Islam itu selepas dua penggal ia bersama kerajaan negeri.

Budiman dan Roslan mengulas kenyataan Pengarah Strategi Pilihan Raya DAP Dr Ong Kian Ming hari ini yang menjangkakan PH akan menang di Selangor untuk penggal yang ketiga walaupun berlaku pertembungan tiga penjuru kerana pengundi di negeri itu praktikal, memilih parti politik yang boleh memenuhi kehendak mereka dan tidak termakan propaganda media arus perdana.

“Prestasi kerajaan negeri Selangor, walaupun tidak sempurna, dirasai dengan positif oleh pengundi di negeri ini melalui pelbagai program kebajikan di bawah payung Inisiatif Peduli Rakyat.

“Ini termasuk kad kesihatan percuma untuk keluarga dan individu berpendapatan rendah, bas percuma di setiap daerah/perbandaran di negeri itu,” kata ahli Parlimen Serdang itu dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Budiman yang juga ahli Parlimen Sungai Besar berkata BN Selangor melihat sudah ada bibit-bibit penolakan rakyat negeri itu terhadap kepimpinan Menteri Besar Mohamed Azmin Ali.

“Azmin akan diingat sebagai menteri besar yang paling lemah dan kuat politiking,” katanya.

Pengerusi BN Selangor Noh Omar minggu lalu mengumumkan, Muhammad Muhammad Taib bersama dua bekas menteri besar era BN, Abu Hassan Omar dan Dr Mohamad Khir Toyo akan membantu Umno untuk menawan kembali negeri terkaya Malaysia itu.

Mengulas perkembangan itu, Roslan yang juga timbalan ketua penerangan PAS Pusat berkata, peluang BN untuk merampas kembali Selangor semakin tipis terutamanya selepas meletakkan “tiga bekas menteri besar” sebagai modal mereka.

“Dari kajian yang PAS lakukan rata-rata pengundi Melayu di Selangor lebih yakin pada PAS berbanding parti-parti lain termasuk Umno.

“Meletakkan tiga bekas MB Selangor sebagai ‘modal’ membantu jentera BN adalah kesilapan yang sangat besar kerana ketiga-tiga mereka memikul beban permasalahan moral yang tidak mudah dilupakan rakyat Selangor.”

Sementara itu, bekas Menteri Besar Selangor Dr Khir berkata, setakat ini masih belum ada kajian yang melibatkan sampel besar yang sudah dilakukan untuk menggambarkan parti mana terkuat di negeri itu.

“Oleh itu, setiap parti boleh menyatakan pandangan masing-masing. Yang paling penting semua parti mesti mengelakkan daripada politik ‘resgessive’ dan perkauman yang merugikan negara.

“Kita tidak mahu menang parti tertentu rakyat jadi arang dan kalah parti tertentu rakyat yang menjadi abu,” kata Dr Khir kepada The Malaysian Insight. – 26 September, 2017.

Iklan
Iklan