Iklan

PKR tidak akan siasat video seks, kata Saifuddin 

Jason Santos5 years ago16th Jun 2019Berita
Saifuddin nasution pay fo 20190514 hasnoor 005
Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution Ismail berkata, pendirian parti adalah jelas dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Jun, 2019
Iklan

PKR tidak akan menjalankan siasatan dalamannya sendiri terhadap dakwaan video seks yang melibatan Timbalan Presiden PKR Azmin Ali, kata setiausaha agung parti itu, Saifuddin Nasution Ismail hari ini.

Menurutnya, pendirian parti adalah jelas dan akan menyerahkan kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan.

“Kita telah mengadakan mesyuarat biro politik minggu lalu dan ia antara isu yang dibincangkan, kami akan serahkan kepada pihak polis atau Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, sekiranya perlu, untuk mereka menjalankan siasatan. 

“Ini adalah pendirian parti sejak minggu lalu. Kami tidak mahu bbuat spekulasi berhubung perkara itu,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya PKR yang diadakan di Kota Kinabalu. 

Turut hadir, presiden parti Anwar Ibrahim dan pengerusi PKR Sabah Christina Liew. 

Terdahulu hari ini, Azmin berkata beliau tidak menolak andaian terdapat tangan ghaib di dalam parti yang berusaha merosakkan reputasinya dan menjatuhkannya dengan menyebarkan video itu.

Beliau percaya dalang yang menyebarkan video seks itu mempunyai nombor telefon semua pemimpin cabang dan juga pemimpin bawahan. 

Azmin turut menggesa jawatankuasa disiplin parti menjalankan siasatannya sendiri. 

Malah, video berkenaan tidak disebarkan menerusi Instagram atau Facebook, sebaliknya melalui aplikasi mesej, WhatsApp, bagi mengelakkan alamat IP pelaku dikesan. 

“Ini sangat mengejutkan. Saya sendiripun tidak ada (senarai nombor telefon) ini.

“Siapa yang berikan maklumat ini. Siapa yang tubuhkan kumpulan WhatsApp?”

Azmin, yang juga menteri hal ehwal ekonomi berkata, terdapat kumpulan WhatsApp berasingan ahli PKR Sabah, Sarawak dan Semenanjung Malaysia yang perlu dijelaskan oleh pimpinan parti. 

Jumaat lalu, The Malaysian Insight melaporkan yang Haziq Abdullah Abdul Aziz yang menuduh Azmin ditahan di KLIA. Penahanan itu kemudiannya disahkan polis. 

Haziq dijemput oleh beberapa ahli PKR ketika beliau dibebaskan dengan jaminan di ibu pejabat polis daerah Dang Wangi semalam.  – 16 Jun, 2019

Iklan
Iklan