Iklan

LANGSUNG: Tumpuan kepada peranan 'penghubung' bekas ketua SRC International

Bede HongTimothy Achariam5 years ago17th Jun 2019Berita
Src 23 days 120619 tmiseth 10
Bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail akan dipanggil kali ke-6 hari ini untuk menyambung keterangannya berkenaan peranan Najib Razak dalam urus niaga syarikat itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 17 Jun, 2019.
Iklan

BEKAS pengerusi SRC International Ismee Ismail akan dipanggil kali ke-6 hari ini untuk menyambung keterangannya berkenaan peranan Najib Razak dalam urus niaga SRC International.

Pihak pembelaan hari ini dijangka menyentuh tentang kredibiliti Ismee, saksi ke-39, kerana didakwa tidak konsisten dalam keterangannya minggu lalu dan penyata saksi enam halamannya yang diambil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tahun lalu.

Peguam Harvinderjit Singh memberitahu Hakim Mahkamah tinggi Kuala Lumpur Mohd Nazlan Mohd Ghazali pada Jumaat bahawa peguam akan menyoal tentang keterangan Ismee yang tidak konsisten selepas peguam Najib mengkaji bukti lisan Ismee.

Antara pilihan ialah memfailkan pemecatan saksi, yang akan diputuskan oleh hakim.

Dakwaan tidak konsisten bermula dari keterangannya bahawa ahli lembaga pengarah SRC International mengguna pakai resolusi pemegang saham, atau perjanjian tidak mengikat, di mana ia bertindak atas nasihat bekas perdana menteri Najib atas kapasitinya sebagai pemegang saham.

Peguam berhujah bahawa keterangan Ismee yang bercanggah itu, di mana ahli lembaga pengarah mengikut arahan Najib sebagai penasihat emeritus.

Walaupun dijangka akan ditanya bertubi-tubi, peguam hanya menyoal balas Ismee, yang berkata beliau tidak tahu syarikat itu mengambil pengurus hubungan untuk menguruskan akaun syarikat di AmBank.

Ismee, 54, memberitahu mahkamah minggu lalu bahawa lembaga pengarah yang dipengerusikannya tidak dimaklumkan bila pemilikan SRC International dipindahkan ke Kementerian Kewangan (MoF) pada Februari 2012, daripada 1Malaysia Development Bhd (1MDB), tidak lama selepas jaminan kerajaan diberikan untuk pinjaman kedua RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP).

Beliau kemudian mengulangi keterangan terdahulu bahawa beliau tidak pernah bertemu Najib atas kapasiti pengerusi lembaga pengarah SRC.

Ismee mempengerusikan lembaga pengarah itu dari 2011 hingga 2014 ketika Najib menjadi menteri kewangan. Beliau mengetuai MoF dan mempengerusikan lembaga penasihat 1MDB. SRC International ditubuhkan pada Januari 2011.

Kes SRC International melibatkan salah guna kuasa Najib Razak diteruskan hari ini dengan pihak pembelaan mencabar kesahihan kenyataan bekas pengerusi SRC International Ismee Ismail. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Jun, 2019.

Tuduhan ke atas Najib dalam perbicaraan ini melibatkan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International yang dibuat pada 2011 dan 2012 yang mana beliau dituduh menerima RM42 juta dalam akaunnya pada 2014 dan 2015.

Beliau menghadapi tiga tuduhan pecahan amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa. Jika sabit kesalahan beliau boleh dipenjara sehingga 20 tahun.

Najib, 66, diwakili 12 peguam diketuai Muhammad Shafee Abdullah. Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pasukan pendakwa raya manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mengetuai perbicaraan. – 17 Jun, 2019.

The Malaysian Insight membawakan kepada anda prosiding mahkamah secara langsung:

4.55pm: Harvinderjit menamatkan sesi soal balas saksi untuk hari keenam dan meminta Hakim Nazlan meneruskan sesi esok pagi kerana peguam utama Shafee Abdullah mempunyai sejam lagi untuk menyoal balas Ismee. 

Mahkamah ditangguh kepada jam 9 pagi esok.

4.44pm: Harvinderjit meneliti kandungan bersaksi Ismee yang dibacanya pada hari pertama. Pada perenggan akhir keterangan, Ismee berkata Najib ada kemampuan untuk melantik atau memecat mana-mana pengarah kerana beliau adalah pemegang kepentingan. Ismee berkata perenggan terakhir itu adalah kata-katanya sendiri dan tidak dibantu oleh pegawai SPRM yang mengambil keterangannya. 

4.30pm: Harvinderjit bertanya Ismee untuk menjelaskan maksud “kerajaan” yang disebut dalam minit mesyuarat syarikat, adakah ia tidak hanya merujuk kepada Najib tetapi juga jabatan lain seperti Unit Perancang Ekonomi dan MoF Inc. 

Ismee berkata dalam konteks itu, ia tidak merujuk kepada Najib. 

Ismee sebelum itu berkata dalam keterangan bersaksi yang dalam pemahamannya, kerajaan bermaksud Najib. 

Harvinderjit berkata Najib bukan kerajaan- beliau adalah perdana menteri tetapi bukan kerajaan.

3.40pm: Pihak pembelaan mendedahkan sepuucuk surat daripada Nik Faisal kepada Putra Perdana Construction pada 8 Ogos 2014 untuk meningkatkan nilai pelaburan usaha sama perlombongan di Amerika Selatan itu daripada RM140 juta kepada RM170 juta. Usaha sama melibatkan anak syarikat SRC International, Gandingan Mentari.

Ismee menyatakan surat itu tidak ditunjukkan kepada lembaga pengarah yang dipengerusinya.

2.40pm: Mahkamah bersambung dengan Ismee diperiksa balas.

1.08pm: Mahkamah berhenti rehat tengahari.

11.50am: Ismee berkata dalam surat perletakan jawatannya, beliau tidak menyertakan sebab berundur tetapi lembaga pengarah SRC International tahu sebab sebenar.

11.47am: Ismee menjelaskan yang “akaun ditutup” dalam kenyataannya bukanlah bermaksud akaun itu sudah diaudit.

Ia hanya bermakna tiada lagi kemasukan (deposit) boleh dibuat.

11.13am: Mahkamah kembali bersidang. 

10.49am: Mahkamah berhenti rehat 10 minit.

10.35am: Harvinderjit berkata tindakan yang dibuat oleh Nik Faisal dan Suboh adalah serius, Ismee bersetuju.

10.34am: Ismee memberitahu beliau tidak dimaklumkan tentang pemindahan RM170 juta daripada SRC International kepada Putra Perdana Construction dalam tiga transaksi berbeza antara Julai dan Ogos 2014.

Beliau juga tidak menyedari kewujudan wang tersebut kerana Nik Faisal dan Mohd Suboh tidak memberitahunya kepada lembaga pengarah tentang transaksi tersebut.

10.20am: Ismee berkata tindakan pengurusan SRC International jauh berbeza dan tidak banyak kaitan dengan lembaga pengarah.

Katanya, beliau tidak boleh menjelaskan bagaimana duit syarikat dipindahkan.

10.17am: Harvinderjit mencadangkan yang Nik Faisal memanipulasikan kerajaan dan lembaga pengarah SRC International kerana beliau adalah penghubung antara mereka.

Ismee bersetuju dengan cadangan itu.

Ismee Ismail (kiri) sedang disoal peguam bela berkaitan keterangannya tentang SRC International dan Najib Razak. – Gambar The Malaysian Insight oleh Afif Abd Halim, 17 Jun, 2019.

9.51am: Ismee berkata pada 29 Februari 2012, akaun syarikat SRC International hanya mempunyai RM17,000, bukannya RM2 bilion.

Resolusi lembaga pengarah hanya diluluskan melibatkan pinjaman kedua untuk RM1.8 bilion dimasukkan ke dalam bank Switzerland dan Hong Kong, katanya.

Ismee berkata mungkin terdapat “perbezaan besar” antara apa yang diberitahu oleh Nik Faisal kepada lembaga pengarah SRC International dan Kementerian Kewangan.

9.31am: Ismee menyatakan yang Nik Faisal gagal memberi taklimat kepada lembaga pengarah pada 14 Februari 2012 tentang jaminan kerajaan terhadap pinjaman kedua berjumlah RM2 bilion daripada KWAP.

Pinjaman dibuat pada 28 Mac 2012.

Ismee bersetuju dengan Harvinderjit, berkata yang lembaga tidak dimaklumkan tentang keperluan pinjaman kedua itu selepas pinjaman pertama diluluskan pada 28 Ogos 2011.

9.26am: Ismee mula disoal peguam Harvinderjit Singh. – 17 Jun, 2019.

Iklan
Iklan