Peguam bela tegaskan Najib diperdaya Jho Low dan sekutu
Iklan
NAMA Low Taek Jhow yang lebih dikenali sebagai Jho Low sekali lagi disebut dalam perbicaraan kes SRC International melibatkan Najib Razak hari ini.
Kali ini ia mengenai hubungan ahli perniagaan dalam buruan itu dengan pegawai 1Malaysia Development Bhd (1MDB).
Peguam bela, Harvinderjit Singh meminta bekas pengerusi SRC International, Ismee Ismail memberitahu mahkamah jika beliau tahu Low merupakan “sekutu rapat” bekas pengarah kewangan 1MDB, Terrence Geh yang juga setiausaha SRC International.
Ismee yang menduduki lembaga pengarah dari 2011 hingga 2014, berkata beliau hanya menyedari mengenai Geh menerusi laporan berita dan ketika perbicaraan.
Begitu juga mengenai hubungan antara CEO SRC International Nik Faisal Ariff Kamil dan Low serta bekas pengarah eksekutif pembangunan perniagaan 1MDB Casey Tang Keng Chee, kata Ismee.
Nama-nama tersebut timbul ketika Ismee disoal mengenai transaksi bank bernilai puluhan juta dari SRC International ke Putrajaya Perdana Bhd, ketika Jerome Lee merupakan pengarah.
Pasukan peguam bela Najib menegaskan bahawa bekas perdana menteri itu diperdaya oleh bank-bank yang bertanggungjawab ke atas akaun berkaitan kerajaan yang bekerjasama dengan individu seperti Low untuk mencuri wang dari SRC International.
Perbuatan itu berkemungkinan dilakukan dengan bantuan pegawai SRC International, kata mereka.
Muhammmad Shafee Abdullah yang mengetuai pasukan peguam bela berkata akaun bank Najib dimanipulasi oleh “orang luar seperti Jho Low dan lain-lain termasuk beberapa orang dalam bank”. – 17 Jun, 2019.