10 nelayan dikhuatiri diculik di perairan Sabah
Iklan
DUA bot nelayan, bersama sepuluh awak-awak yang dalam perjalanan dari Lahad Datu ke Semporna dipercayai diculik awal pagi tadi.
Insiden itu dipercayai berlaku berhampiran di Tawi-Tawi iaitu salah satu pulau di Selatan Filipina sekitar pukul 2.45 pagi tadi, ketika perintah berkurung masih berkuatkuasa.
Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (Esscom) Hazani Ghazali bagaimanapun memberitahu The Malaysian Insight pihaknya masih belum menerima llaporan berhubung insiden berkenaan.
“Saya sedia maklum mengenai perkara ini tetapi masih belum menerima laporan rasmi daripada mangsa atau pemilik bot,” katanya ketika dihubungi.
Dua bot nelayan terbabit berada di perairan Tambisan di Lahad Datu dan menuju ke Semporna untuk memperbaharui permit kerja di daerah Pantai Timur hari ini.
Identiti dan kewarganegaraan mangsa masih belu dikenal pasti.
Kesemua mangsa dipercayai warga Filipina yang memegang dokumen Lepa Lepa yang dikeluarkan pada 1970an.
Menurut laporan yang belum disahkan, sekumpulan lelaki bersenjata menaiki dua bot laju ketika menghampiri bt nelayan berkenaan.
Mereka dipercayai melarikan empat daripada enam awak-awak daripada bot nelayan pertama dan enam awak-awak daripada bot kedua.
Mereka turut dipercayai melarikan diri ke arah Pulau Sitangkai di selatan Filipina.
Pesuruhjaya Polis Sabah Omar Mammah bagaimanapun enggan mengulas berhubung insiden itu.
Enam lagi nelayan terbabit, yang diselamatkan oleh Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), mendakwa mereka menujuk ke Semporna untuk memperbaharui permit mereka. – 18 Jun, 2019