Iklan

Tiada bantahan dari menteri BN berhubung pinjaman RM4 bilion SRC International

Bede HongTimothy Achariam5 years ago18th Jun 2019Berita
Mazidah abdul majid tmi 01
Timbalan ketua setiausaha (kabinet) Mazidah Abdul Majid memberi keterangan bahawa minit mesyuarat tidak menunjukkan menteri membantah pinjaman RM2 bilion kepada SRC International.– Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Jun, 2019
Iklan

TIADA sebarang bantahan yang dibangkitkan leh menteri Barisan Nasional, termasuk Muhyiddin Yassin dan Rais Yatim, apabila bekas perdana menteri Najib Razak mendapatkan kelulusan kabinet pada pertengahan 2011 untuk pinjaman sebanyak RM2 bilion kepada SRC International, Mahkamah Tinggi Kuala Lumur didengar hari ini. 

30 menteri yang hadir pada mesyuarat kabinet yang diadakan pada 17 Ogos 2011, yang mana Najib ketika itu membentangkan memorandum untuk persetujuan kabinet bagi Kumpulan Wang Persaraan (KWAP) membayar pinjaman pertamanya kepada SRC International. 

Memorandum itu juga untuk mendapatkan status oengecualian cukai kepada SRC International. 

Timbalan ketua setiausaha (kabinet) Mazidah Abdul Majid memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini bahawa menurut mesyuarat itu, tiada perbincangan dibuat dalam kalangan ahli kabinet. 

“Ini kerana sekiranya terdapat perbincangan, ia akan direkodkan di bawah minit yang mana ia menunjukkan kabinet mengambil merekodkan bagi sebarang kenyataan atau pandangan atau penjelasan. Rekod seperti itu tidak ada dalam minit ini,” katanya.

Antara menteri yang hadir adalah Ahmad Zahid Hamidi, Nazri Aziz, Hishamuddin Hussein, Shahrizat Abdul Jalil, Idris Jala dan Shafie Apdal.

Memorandum berkenaan bagi mendapatkan jaminan kerajaan untuk pinjaman RM2 bilion berserta faedah.

Tempoh pinjaman itu ditetapkan sepuluh tahun dan jumlah yang dibayar akan digunakan untuk aktiviti pelaburan dalam sumber asli, menurut memorandum berkenaan.

Pinjaman itu dibuat selari dengan Akta Jaminan Pinjaman (Pertubuhan Perbadanan) 1965.

Memorandum itu juga bagi membolehkan menteri kewangan, iaitu Najib Razak ketika itu. diberi kuasa untuk menentukan terma dan syarat pinjaman.

Tiada perbincangan direkodkan dalam satu lagi mesyuarat kabinet pada 8 Februari, 2012 ketika Najib membentangkan satu lagi memorandum untuk mendapatkan pinjaman kedua SRC International daripada KWAP sebanyak RM2 bilion.

Pinjaman kedua dibayar pada 28 Mac, 2012. 

Pertuduhan Najib dalam perbicaraan ini berkaitan pinjaman RM4 bilion, yang mana beliau didakwa menerima RM42 juta ke akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Beliau berdepan tiga dakwaan pecah amanah, tiga dakwaan pengubahan wang dan satu dakwaan penyalahgunaan kuasa.

Najib diwakili sepasukan peguam yang diketuai Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pihak pendakwaan manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mempengerusikan perbicaraan. – 18 Jun, 2019

Iklan
Iklan