Iklan

Sabah perlukan lebih banyak hasil persekutuan, kata Shafee

Jason Santos5 years ago18th Jun 2019Berita
Cm sabah state001
Ketua Menteri Sabah Mohd Shafee Apdal mengulangi gesaan supaya lebih banyak hasil persekutuan diberikan untuk memajukan negeri itu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 18 Jun, 2019.
Iklan

KEMISKINAN di Sabah adalah kerana kekurangan kuasa dan dana untuk membasminya walaupun menjana sebahagian pendapatan untuk Malaysia, kata Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal hari ini.

Tambahnya, sudah sampai masanya untuk kekayaan negara dan tanggungjawab membangunkan Sabah dikongsi secara saksama.

“Sabah menjana pendapatan banyak untuk negara, tetapi di kawasan luar bandar, penduduknya masih hidup dalam kemiskinan.

“Jika kekayaan dikongsi tetapi bukan (tidak diberi) tanggungjawab, ia juga boleh jadi masalah.

“Separuh penduduk Sabah masih ketinggalan dalam aspek perkhidmatan, kemudahan asas, manakala yang lain pula menikmati (kemudahan) lebih baik.

“Kami (kerajaan Sabah) bermatlamat mengurangkan kadar kemiskinan bagi memastikan penduduk ada akses kepada apa sahaja yang mereka perlukan,” katanya dalam ucap tama di Forum Sabah Baharu di Kota Kinabalu hari ini.

Tidak ada data rasmi jelas untuk menunjukkan sumbangan Sabah kepada pendapatan kerajaan persekutuan sejak penubuhan Malaysia pada 16 September 1963.

Hasil cukai, duti, minyak, gas dan lain-lain dikutip oleh agensi persekutuan seperti Jabatan Kastam dan Lembaga Hasil Dalam Negeri di Sabah.

Perkara 122 Perlembagan Persekutuan menyatakan Sabah berhak ke atas 40% kutipan dibuat pihak berkuasa persekutuan, tetapi kerajaan pusat berhenti memberikan jumlah itu sejak 1974.

Sebaliknya, sebanyak RM20 juta diberikan setiap tahun, jumlah itu tidak pernah berubah.

Timbalan Presiden Warisan Darell Leiking berkata kerajaan persekutuan mungkin berhutang lebih RM1 trilion dengan Sabah jika ia dikira sejak 1963.

Pengembalian hak negeri adalah antara janji utama Pakatan Harapan pada pilihan raya umum tahun lepas.

Bagaimanapun, sehingga kini, ia masih belum melunaskan janjinya untuk menaikkan royalti minyak kepada 20% berbanding 5% diterima sekarang.

Menteri Kewangan Lim Guan Eng pada November tahun lepas mendedahkan Putrajaya tidak cukup dana untuk membayar 40% hasil setiap tahun kepada Sabah seperti mana termaktub dalam Perjanjian Malaysia.

Shafie turut mendedahkan yang kadar kemiskinan Sabah jatuh kepada 2.9% pada 2016 berbanding 4% pada 2014, tetapi matlamat kerajaan negeri adalah mengurangkannya kepada hanya 1% pada 2020. – 18 Jun, 2019.

Iklan
Iklan