Bank digesa tawar lebih banyak pinjaman untuk kembangkan ekonomi
Iklan
BANK perlu menyediakan lebih banyak pinjaman kepada pembeli rumah pertama dan perusahaan kecil sederhana (PKS) berikutan kewangan isi rumah di negara ini bertambah baik, gesa Lim Guan Eng hari ini.
Menteri Kewangan berkata, keadaan kewangan isi rumah di negara ini sedang bertambah baik kerana kadar hutang isi rumah dalam Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menurun kepada 83% pada 2018 daripada 83.8% pada 2013.
Berdasarkan perkembangan ini, pengguna mempunyai lebih banyak ruang untuk membuat pinjaman sama ada melalui skim simpanan, pelaburan spekulatif dan pemilikan aset jangka panjang.
“Bank perlu memberi akses kepada lebih banyak pembiayaan secara meluas untuk pembeli rumah pertama dan PKS untuk memacu ekonomi,” katanya dalam satu kenyataan di Kuala Lumpur.
Lim berkata, menurut data Bank Negara Malaysia, tahap aset kewangan isi rumah adalah 2.1 kali dari hutang isi rumah menunjukkan isi rumah mempunyai lebih banyak aset dari hutang.
“Bagaimanapun kerajaan tahu betapa mudahnya ekonomi golongan berpendapatan rendah terjejas apabila berlakunya hal kecemasan yang memerlukan mereka memperkukuhkan kewangan sedia ada.
“Untuk ini, kerajaan berjaya membaiki program bantuan tunai kos hidup, skim insurans mySalam percuma dan menstabilkan harga RON95 serta diesel,” katanya.
Lim berkata, penstabilan kos bahan api dapat mengurangkan kos sara hidup terutamanya untuk kumpulan bawah 40.
Inflasi pada April tahun ini stabil dan berada pada paras 0.2% berikutan penstabilan harga runcit untuk RON95 dan diesel.
“Kerajaan juga bertekad untuk memastikan barangan asas dikawal memandangkan kenaikan harga simen di pasaran,” katanya.
Mengenai kenaikan harga simen Lim berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna di bawah Menteri Saifuddin Nasution telah mengeluarkan 19 notis di bawah Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan kepada 19 pengeluar simen di seluruh negara bagi mendapatkan penjelasan mereka.
Beliau berkata, kerajaan akan terus memainkan peranannya untuk mengawasi keadaan bagi memastikan harga simen kekal berdaya saing dan daripada pengaruh monopoli.
Lim berkata, Jawatankuasa Dasar Monetari pada 7 Mei tahun ini memutuskan untuk menurunkan kadar dasar semalaman dari 25 mata kepada 3.00% daripada 3.25% untuk mengurangkan kos pinjaman. – 19 Jun, 2019.