Iklan

Hanya 1 dari 3 pinjaman SRC International diluluskan kabinet

Bede HongTimothy Achariam5 years ago19th Jun 2019Berita
Afidah azwa abdul aziz tmi 03  full
Afidah Azwa Abdul Aziz yang merupakan Penolong Setiausaha Jabatan Ekonomi Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengenai tiga pinjaman berjumlah RM650 juta yang dibuat pada 2015, 2016 dan 2017. Bagaimanapun hanya pinjaman pertama disokong oleh Kabinet. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 19 Jun, 2019.
Iklan

DARIPADA tiga perjanjian pinjaman yang dibuat oleh Kementerian Kewangan untuk membantu SRC International membayar berbilion hutang, hanya yang pertama berjumlah RM92 juta diluluskan oleh kabinet.

Afidah Azwa Abdul Aziz yang merupakan Penolong Setiausaha Jabatan Ekonomi Kementerian Kewangan memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini mengenai tiga pinjaman berjumlah RM650 juta yang dibuat pada 2015, 2016 dan 2017. Bagaimanapun hanya pinjaman pertama disokong oleh Kabinet.

Beliau memberi keterangan hari ini bahawa kerajaan telah mengeluarkan perjanjian pinjaman sebanyak RM92 juta pada 6 November 2015, kredit berjumlah RM250 juta (di mana RM213 juta digunakan) pada27 September 2016 dan perjanjian pinjaman sebanyak RM300 juta pada 13 Disember 2017.

Beliau berkata, “stand-by-credit” pada 2016 menerima kelulusan Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan menteri kewangan kedua. Beliau tidak tahu sama ada pinjaman ketiga telah diluluskan oleh kabinet kerana peranan beliau dalam kementerian telah berubah pada masa itu.

Peguam Harvinderjit Singh bertanya kepadanya sama ada Menteri Kewangan Kedua Johari Ghani menyatakan keperluan SRC International untuk mendapatkan dana yang dibekukan di Switzerland selepas berita skandal 1MDB didedahkan pada pertengahan 2015.

Afidah menafikannya dan mengatakan kebimbangan utama Kementerian Kewangan adalah mengelakkan pembatalan pinjaman bank.

Tambahnya, beliau tidak menyedari pertemuan antara menteri kewangan semasa Lim Guan Eng dan pihak bank Switzerland.

Terdahulu hari ini, Afidah memberi keterangan bahawa SRC International Sdn Bhd masih berhutang dengan KWAP RM4.15 bilion ditambah faedah untuk pinjaman yang dijamin kerajaan dikeluarkan pada 2011 dan 2012.

Afidah memberitahu mahkamah bahawa hutang itu akan diselesaikan menjelang 2022 atau 10 tahun selepas kemudahan kredit kedua RM2 bilion dikeluarkan.

“Sehingga kini, kerajaan masih membayar hutang pinjaman daripada KWAP kepada SRC International dan ini akan berterusan sehingga hutang prinsipal dan faedah diselesaikan sepenuh,” katanya.

Afidah, 44, yang merupakan saksi ke-41 berkata, SRC International berhutang dengan kerajaan RM650 juta selepas Kementerian Kewangan menjamin entity itu sebanyak tiga kali selepas ia gagal menyelesaikan hutangnya pada waktu ditetapkan.

Perbicaraan bersambung esok. – 19 Jun, 2019.

Iklan
Iklan