Iklan

LANGSUNG: Panggilan dari pegawai SPRM pada 2015, gesa bekas pengarah SRC International larikan diri

Bede HongTimothy Achariam5 years ago20th Jun 2019Berita
Src 22 110619 tmiseth 12
Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin, yang kini diletakkan di bawah program perlindungan saksi SPRM memberi keterangan hari ini.– Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Jun, 2019.
Iklan

PERBICARAAN kes SRC International melibatkan Najib Razak masuk hari ke-29 hari ini, dengan pegawai kewangan daripada Kementerian Kewangan Afidah Azwa Abdul Aziz kembali memberi keterangan sebagai saksi ke-41.

Afidah, yang merupakan timbalan setiausaha di bahagian pelaburan strategik kementerian itu, memberi keterangan semalam bahawa SRC International masih mempunyai hutang pokok dengan Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) sebanyak RM4.15 bilion termasuk faedah bagi pinjaman dijamin kerajaan yang dikeluarkan pada 2011 dan 2012.

Afidah memberitahu Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hutang itu akan diselesaikan menjelang 2022, atau 10 tahun selepas kemudahan kredit kedua sebanyak RM2 bilion diberikan.

“Sehingga sekarang, kerajaan masih membayar hutang pinjaman daripada KWAP kepada SRC International, dan ini akan berterusan sehingga hutang pokok serta faedah diselesaikan sepenuhnya,” katanya.

SRC International juga berhutang dengan kerajaan kira-kira RM650 juta selepas Kementerian Kewangan menjamin entiti itu tiga kali berikutan kegagalan menyelesaikan hutangnya pada waktu ditetapkan.

Beliau berkata kerajaan memberikan perjanjian pinjaman berjumlah RM92 juta pada 6 November 2015, kredit sedia ada sebanyak RM250 juta - dengan RM213 juta digunakan - pada 27 September 2016 dan perjanjian pinjaman sebanyak RM300 juta - dengan RM290 juta digunakan pada 13 Disember 2017.

Beliau berkata perjanjian pinjaman itu dibuat untuk menghalang KWAP daripada mengisytiharkan ““event of default”, yang memerlukan kerajaan, sebagai penjamin, untuk menyelesaikan pinjaman sebanyak RM4 bilion dalam tempoh 30 hari bekerja.

Pinjaman tersebut dikeluarkan oleh KWAP kepada SRC International pada 29 Ogos 2011 bagi RM2 bilion pertama, dan pada 28 Mac 2012 untuk baki RM2 bilion lagi.

Jaminan kerajaan adalah liabiliti luar jangka, di mana kerajaan menanggung kos hutang pokok dan faedah sekiranya syarikat gagal menyelesaikan pembayaran pinjamannya, kata Afidah.

Najib didakwa dalam perbicaraan ini berkaitan dengan pinjaman RM4 bilion kepada SRC International, apabila dituduh menerima RM42 juta dalam akaun peribadinya pada 2014 dan 2015.

Beliau berdepan tiga tuduhan jenayah pecah amanah, tiga tuduhan pengubahan wang haram dan satu penyalahgunaan kuasa. Jika sabit kesalahan, beliau bakal menghadapi hukuman penjara sehingga 20 tahun.

Saksi ke-41 dalam perbicaraan kes SRC International Sdn Bhd, Afidah Azwa Abdul Aziz kembali memberi keterangan dalam perbicaraan hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Jun, 2019.

Najib, 66, diwakili oleh sekumpulan peguam yang diketuai oleh Muhammad Shafee Abdullah.

Peguam Negara Tommy Thomas mengetuai pendakwaan manakala Hakim Mohd Nazlan Mohd Ghazali mendengar kes.

The Malaysian Insight membawa anda prosiding hari ini secara langsung:

5pm: Mahkamah ditangguhkan. Perbicaraan akan bersambung pada 1 Julai.

4.15pm: Suboh mendedahkan beliau ke Switzerland pada September 2013 bersama lembaga pengarah dan Nik Faisal untuk memastikan wang yang mereka laburkan masih ada dengan bank BSI di Lugano.

Ismee Ismail pernah beri keterangan mengenainya sebelum ini. 

4.01pm: Mahkamah bersambung dengan Suboh diperiksa balas oleh pihak pendakwaan.

Menurutnya, beliau menerima banyak panggilan daripada pegawai SPRM, beliau tidak perlu buat laporan polis kerana percaya ia adalah pegawai SPRM.

3.37pm: Mahkamah berehat.

3.34pm: Selepas seminggu, Suboh berkata beliau ke Bangkok dan kembali ke Malaysia.

“Apabila saya kembali, Nik Faisal menghubungi saya dan meminta saya lari sekali lagi untuk mengelakkan pihak berkuasa.”

Katanya, beliau membuat keputusan untuk tidak lari kali ini, dan tinggal di Malaysia untuk membantu siasatan.

Beliau berkata Nik Faisal menghubunginya dan meminta beliau lari sejurus selepas pilihan raya umum.

3.30pm: Menurutnya, beliau rasa takut kerana Najib adalah perdana menteri dan Suboh tidak tahu apa yang akan berlaku kepada dirinya atau keluarganya.

Katanya, beliau membuat keputusan untuk ke Bangkok bersama isterinya selama sebulan.

Menurutnya, beliau rasa takut kerana pada masa itu Nik Faisal menghubunginya dan memaklumkan mengenai kes SRC International serta memberi amaran untuk lari kerana ia membabitkan Najib.

Ketika di Bangkok, Suboh berkata beliau bertemu dengan seorang lelaki  misteri yang memberikan dia dan isteri tiket penerbangan ke Abu Dhabi. Mereka mengambil penerbangan ke Abu Dhabi dan menginap di hotel Rosewood selama seminggu.

Menurutnya, tiket penerbangan dan penginapan itu dibayar namun beliau tidak tahu siapa yang membayarnya.

3.27pm: Suboh berkata pada 2015, beliau menghubungi SPRM dan membuat temu janji untuk berbincang mengenai SRC International. Beliau kemudian menerima panggilan daripada individu yang tidak dikenali, yang mengatakan mereka daripada SPRM, yang memberi amaran kepadanya: “Datuk, tak perlu datang, kamu lari sahaja.”

Beliau berkata individu terbabit memintanya meninggalkan Malaysia.

Beliau tidak tahu siapa yang menghubunginya.

3.23pm: Merujuk kepada minit mesyuarat SRC, Suboh berkata beliau telah memberi amaran mengenai cadangan pelaburan SRC International yang akan dibuat Indonesia.

Beliau berkata, pelaburan itu dicadangkan oleh Nik Faisal tetapi Suboh memberi peringatan bahawa “lanskap perniagaan di Indonesia berbeza berbanding di Malaysia”.

Suboh berkata, beliau berasa bertanggungjawab ke atas wang SRC International.

Katanyam sebagai pengarah beliau tiada kuasa kerana segala-galanya ditentukan oleh Nik Faisal dan Najib, dengan Najib memegang kuasa mutlak untuk melantik dan memecat pengarah.

Menurutnya, beliau tidak letak jawatan dari SRC International kerana berasa bertanggungjawab ke atas pelaburan yang dibuat dan mahu memastikan dana itu dikembalikan dengan selamat. 

3.17pm: Suboh berkata, beliau telah menyuarakan bantahan terhadap cadangan yang SRC International akan laburkan pinjaman yang diberikan KWAP di Abu Dhabi. 

Menurutnya, beliau memaklumkan lembaga pengarah tiada “tarikh sasar jelas, tiada “pandangan jelas” dan usaha wajar dijalankan sebelum meneruskan pelaburan.

3.13pm: Beliau berkata beliau telah mengemukakan isu mengenai isu usaha wajar dan pematuhan kepada Nik Faisal.

Beliau berkata, Nik Faisal selalu berikan jawapan yang sama: “Saya telah dapatkan kelulusan daripada pihak atasan”.

Suboh berkata, pihak atasan itu merujuk kepada Najib.

3.08pm: Beliau berkata geran RM250 juta diberikan oleh SRC International kepada Ihsan Perdana. 

Menurutnya, beliau berpendapat jumlah itu terlalu besar dan mereka memerlukan resolusi yang ditandatangani lembaga pengarah. 

Suboh berkata, beliau bangkitkan isu pematuhan berhubung pematuhan mengenai geran ini namun Nik Faisal berkata, “Ia akan diuruskan” dan keputusna itu telah diluluskan seseorang “di peringkat atasan”.

Suboh berpendapat, seseorang “di peringkat atasan” itu merujuk kepada Najib, yang merupakan penasihat SRC Inetrnational. 

Katanya, beliau tidak pernah bangkitkan lagi mengenai perkara itu dengan Nik Faisal. 

Suboh mengesahkan keterangan pengerusi SRC International Ismee Ismail adalah semua perkara yang berkaitan entiti yag melalui Nik Faisal dan Najib.

3pm: Suboh kini bercakap mengenai bagaimana syarikat CSR SRC International Ihsan Perdana ditubuhkan.

Beliau berkata, mereka mahu bantu mangsa banjir menerusi Ihsan Perdana.

2.50pm: Suboh berkata, beliau adalah penandatangan bagi perjanjian fasiliti untuk pinjaman antara SRC International dan KWAP.

Beliau mengesahkan terdapat tandatangan Najib pada surat jaminan.

Suboh berkata beliau kurang tahu mengenai dua pinjaman KWAP kerana semua transaksi diuruskan Nik Faisal.

2.40pm: Mahkamah bersambung dengan Suboh membacakan keterangan saksinya.

1.03pm: Mahkamah berhenti rehat.

12.59pm: Shafee merujuk Nazlan mengenai perbicaraan esok, dengan mengatakan beliau dan pasukannya akan berada di Mahkamah Rayuan. Beliau mengatakan tidak janji akan kembali dari Mahkamah Rayuan pada tengah hari bagi perbicaraan.

Sithambaram berkata pihak pendakwa akan menunggu pasukan pembela jika ia diteruskan esok tetapi meminta Nazlan mengosongkan sesi esok.

12.30pm: Beliau berkata tidak tahu sama ada Najib mempunyai kepentingan peribadi di SRC International atau menerima wang daripada entiti itu.

Sithambaram kini sedang menyoalnya.

Beliau berkata dalam kes ini, tiada perbincangan mengenai memorandum itu. Menteri tidak mempunyai masa untuk meminta diri.

Tetapi beliau berkata menteri mempunyai peluang mengumumkan kepentingannya dalam memorandum dan keluar.

Saksi dibenarkan turun dari kandang saksi.

12.50pm: Beliau menamakan bekas saksi Ismee Ismail, dan Nik Faisal sebagai ahli lembaga pengarah.

Suboh mengesahkan SRC International membuat permintaan pinjaman daripada KWAP sebanyak RM3.95 bilion sebagai modal kerja dan pelaburan luar negara secara umum.

Beliau berkata SRC International kemudiannya membuat permintaan pinjaman daripada KWAP sebanyak RM2 bilion.

Beliau berkata lembaga pengarah membincangkan perkara ini dan Nik Faisal memberitahu lembaga beliau akan mendapat pinjaman yang disokong oleh “jaminan kerajaan”.

12.47pm: Beliau berkata semua saham SRC International dipindahkan kepada MoF inc pada 14 Februari 2012 dan ia ditandatangani oleh bekas ketua eksekutif SRC International Nik Faisal Ariff Kamil.

12.41pm: Suboh berkhidmat di banyak jabatan kerajaan sehingga bersara pada Januari 2009.

Selepas bersara, beliau bekerja di SRC International sebagai pengarah bukan eksekutif. Beliau dilantik oleh Najib pada 2011.

Tugasnya adalah menghadiri mesyuarat lembaga pengarah dan membuat keputusan berdasarkan persetujuan lembaga.

SRC International dibentuk sebagai syarikat sumber strategik. Beliau berkata SRC International berhasrat melabur dalam arang batu, aluminium dan uranium.

Beliau berkata lembaga pengarah bertanggungjawab mendengar penasihat emeritus, yang merupakan Najib.

12.34pm: Bekas pengarah SRC International Suboh Md Yassin adalah saksi seterusnya memberi keterangan. Beliau diletakkan di bawah program perlindungan saksi oleh SPRM.

Beliau akan membaca kenyataan saksi yang disediakannya dengan bantuan SPRM.

12.26pm: Harvinderjit meneruskan soal balas.

12.15pm: Yusof Zainal Abiden meneruskan soal balas.

Beliau bertanya bagaimana memorandum dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet.

Beliau berkata memorandum itu disusun mengikut keutamaan menteri yang membentangkannya.

Agenda itu kemudian diatur mengikut aturan. Selepas ucapan PM pada mesyuarat Kabinet, mereka akan mula membincangkan memorandum tersebut.

Sama ada Kabinet membincangkan memorandum atau kadang-kala hanya meluluskan atau menolaknya, kata Mazidah.

12.04pm: Pemilik syarikat berkaitan dengan Khairy, oleh itu, beliau terpaksa keluar.

Contoh kedua adalah Hishammuddin Hussein sebagai menteri pertahanan yang keluar ketika syarikat Nuzen Sdn Bhd terlibat.

Saudara lelaki Hishammuddin memegang jawatan dalam syarikat itu.

12.03pm: Dalam kesaksian beliau, Mazidah menyebut Khairy Jamaluddin keluar daripada mesyuarat Kabinet kerana beliau mempunyai kepentingan dalam memorandum itu.

Shafee bertanya kepadanya mengapa beliau keluar. Maziah berkata tidak boleh mendedahkan mengapa kerana ia termasuk di bawah Akta Rahsia Rasmi.

Beliau hanya boleh mendedahkan syarikat yang terlibat, iaitu Enra Land Sdn Bhd.

11.59am: Mazidah berkata biasanya apabila melibatkan MoF Inc, para menteri tidak pernah keluar.

Shafee berkata jika PM keluar dan menteri kewangan kedua mengikutinya, maka tiada sesiapa akan memberi taklimat kepada Kabinet. Ini bermakna mereka meninggalkan tugas sebagai menteri berkaitan. Mazidah berkata beliau tidak pasti.

11.58am: Mazidah berkata perlu memeriksa minit mesyuaratnya semasa mesyuarat Kabinet, ketika para menteri masuk dan keluar.

Sepanjang ingatannya, Najib tidak pernah keluar dari mesyuarat Kabinet ketika MoF Inc dibincangkan dan begitu juga menteri kewangan II.

11.56am: Shafee berkata pada 2012 Petronas menjamin MISC - keputusan yang dikritik lantang. Adakah anda setuju dengan saya perdana menteri tidak pernah keluar dari mesyuarat?

Mazidah berkata tidak ingat.

11.52am: Shafee bertanya kepadanya jika seseorang menganggap jawatan perdana menteri, mereka secara automatik dikaitkan dengan Kementerian Kewangan Diperbadankan (MoF Inc), terutama jika beliau menteri kewangan.

Shafee berkata Petronas berada di bawah MoF Inc. Petronas juga berada di bawah sayap PM.

Shafee bertanya sama ada beliau ingat jika Dr Mahathir pernah keluar dari mesyuarat Kabinet ketika membincangkan jaminan Petronas daripada Bank Bumiputra (pada 1980-an).

Beliau berkata ia bukan semasa zamannya, sambil menambah beliau tidak fikir Dr Mahathir meninggalkan mesyuarat Kabinet.

11.44am: Mazidah berkata sejak lebih 21 tahun, beliau tidak pernah mengalami situasi seperti ini dengan PM mempunyai kepentingan dalam sebuah syarikat. Beliau adalah setiausaha Kabinet semasa zaman Dr Mahathir Mohamad, Abdullah Ahmad Badawi, Najib dan Dr Mahathir sekali lagi sebelum bersara.

11.41am: Shafee berkata kod itu tidak terpakai kepada PM kerana beliau tidak mempunyai kepentingan peribadi dalam SRC International.

11.27am: Shafee berkata konflik kepentingan dalam klausa 4 kod etika adalah mengenai kepentingan dan beliau akan membuktikan tidak wujud konflik kepentingan.

Kod menyatakan anda mesti mempunyai kepentingan peribadi untuk dianggap sebagai konflik kepentingan.

11.24am: Beliau mengatakan prosedur umum agar menteri tidak terlibat dalam mesyuarat Kabinet jika ada kepentingan diri dalam isu yang dibincangkan.

Ia mengatakan dalam kod jika ada menteri lain yang mempunyai firma swasta dengan nama mereka, ia tidak dibenarkan.

Menteri yang memegang saham tidak boleh mempunyai kawalan kepentingan, kata Mazidah.

11.23am: Shafee meneruskannya dengan kod etika Kabinet dengan Mazidah.

11.19am: Mazidah Abdul Majid, bekas ketua setiausaha agung Kabinet, kembali menjadi saksi ke-40.

Shafee memulakan soal balas, menyambung sesi dua hari lalu.

10.57am: Nazlan berkata jawapan diberikan Afidah susulan soal balas. Nazlan membenarkan jawapannya. Saksi itu kemudiannya dibenarkan turun dari kandang saksi.
Mahkamah berhenti rehat 10 minit.

10.41am: Afidah berkata beliau bertanya mengapa perlu menyediakan memorandum itu dan diberitahu terpaksa melakukannya kerana bos memberitahu ia adalah syarikat perdana menteri.

Pihak pembela kemudian berpendapat kenyataan Afidah adalah khabar angin. DPP V. Sithambaram berkata undang-undang sangat jelas, beliau memberi keterangan mengenai apa yang berlaku dan itu bukan khabar angin.

10.38am: Afidah berkata terpaksa percaya apa yang Nik Faisal Ariff Kamil beritahu Kementerian Kewangan kerana beliau diarah menyediakan memorandum beberapa jam selepas bertemu dengan bekas CEO SRC International.

10.18am: Shafee selesai menyoal. Beliau memohon maaf kepada saksi jika terlalu keras ketika menyoal balas.

10.13am: Shafee bertanya kepada Afidah apakah peranan menteri kewangan II dalam merangka memorandum itu.

Bekas perdana menteri Najib Razak ketika sampai di Komplkes Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 20 Jun, 2019.

Menteri kewangan II pada masa itu adalah Ahmad Husni Hanadzlah.

Shafee bertanya mengapa Husni dipilih sebagai menteri kewangan II? Beliau menyatakan Husni adalah seorang pengurus bank sebelum menyertai politik. Beliau akan mengetahui dengan jelas memorandum, seperti jaminan kerajaan.

10am: Afidah memberitahu mahkamah beliau tergesa-gesa menyiapkan surat jaminan untuk SRC International, malah beliau sebenarnya dalam keadaan “ditekan”.

Shafee bertanya kepadanya apa yang dia maksudkan dengan “ditekan”. Beliau terdiam agak lama dan menjawab ditekan untuk menyelesaikannya.

9.33am: Beliau hanya mula bekerja di unit jaminan pada 2010. Dari 2010 hingga 2011, Afidah terlibat dalam menyediakan lima jaminan kerajaan.

9.32am: Perbicaraan bermula. Shafee menyoal balas Afidah Azwa Abdul Aziz, saksi ke-41. – 20 Jun, 2019.

Iklan
Iklan