Iklan

SPRM tangkap setiausaha politik menteri

Radzi Razak7 years ago27th Sep 2017Berita
Sprm stock pix 12042017 tmikamal ariffin 04
Penahanan seorang setiausaha politik menteri dari Sarawak itu disahkan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad tetapi beliau tidak mengulas lanjut. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 September, 2017.
Iklan

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan setiausaha politik seorang menteri kabinet persekutuan dari Sarawak bagi membantu siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang Perbadanan Tabung Pembangunan Kemahiran.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Dzulkifli Ahmad mengesahkan SPRM menahan individu tersebut ketika hadir memberi keterangan di ibu pejabat agensi itu di Putrajaya pada 12.30 tengah hari, hari ini

“Sebelum ini, kita telah menangkap empat orang berhubung perkara sama penyelewengan wang PTPK yang mana kesemua individu terbabit telah pun direman dan dibebaskan dengan jaminan SPRM

“Hari ini SPRM telah membuat tangkapan terhadap seorang lagi yang merupakan Setiausaha Politik sebuah kementerian,” kata beliau, seperti dipetik oleh Bernama.

Sementara itu seorang sumber di Putrajaya mengesahkan kepada The Malaysian Insight bahawa individu tersebut bekerja dengan Kementerian Sumber Manusia.

Bagaimanapun Menteri Sumber Manusia Richard Riot yang ditemui di Shah Alam petang tadi enggan mengulas perkara tersebut.

SPRM minggu lalu menahan empat orang untuk membantu penyasatan kes seleweng dana kerajaan hampir RM40 juta yang sepatutnya disalurkan kepada sebuah perbadanan kemahiran bagi tujuan program latihan.

Mereka yang ditahan adalah seorang ketua eksekutif bergelar Datuk berumur 58 tahun ditahan bersama-sama setiausaha perbadanan berumur 34 tahun, penolong pegawai kewangan berumur 32 tahun dan pengarah sebuah syarikat yang bergelar doktor berumur 38 tahun di beberapa lokasi di ibu negara dalam operasi khas SPRM.

Bagaimanapun, semua individu terbabit yang direman enam hari bermula 14 September lalu masing-masing telah dibebaskan dengan jaminan SPRM.

Dzulkifli dalam beberapa kenyataannya ketika genap setahun memegang jawatan ketua SPRM pada Julai lalu memberi amaran kepada parti politik untuk tidak meletakkan calon yang terlibat rasuah dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) nanti.

Beliau juga menjelaskan SPRM tidak cenderung mengambil tindakan terhadap ahli politik menjelang pilihan raya umum kerana tidak mahu tindakan agensi anti rasuah itu dipolitikkan. – 27 September, 2017.

Iklan
Iklan