Iklan

SPRM ambil keterangan Hishammuddin mengenai perjanjian tukar tanah

Timothy Achariam5 years ago21st Jun 2019Berita
Hishammuddin hussein memorial tun hussein onn 04
Bekas menteri pertahanan Hishammuddin Hussein akan memberi keterangan kepada SPRM pada Ahad ini berhubung perjanjian tukar tanah melibatkan Kementerian Pertahanan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 21 Jun, 2019.
Iklan

BEKAS menteri pertahanan Hishammuddin Hussein akan dipanggil oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Ahad, 23 Jun, untuk memberi kenyataan mengenai perjanjian pertukaran tanah yang dibuat sepanjang tempoh beliau berkhidmat.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Azam Baki berkata tarikh itu diminta oleh Hishammuddin sendiri memandangkan hanya hari itu beliau mempunyai kelapangan masa.

Azam juga berkata Ahmad Zahid Hamidi juga sudah disoal oleh SPRM pada Khamis lepas mengenai perjanjian itu.

“Beberapa individu sudah dipanggil ketika penyiasatan kami berjalan,” katanya di ibu pejabat SPRM hari ini.

Azam juga tidak menolak kemungkinan bekas perdana menteri Najib Razak turut dipanggil untuk diambil keterangannya.

Najib menjadi perdana menteri sejak 2009 sebelum ditumbangkan pada Mei lalu selepas pilihan raya umum. Zahid adalah menteri pertahanan sejak 2009 hingga 2013, sebelum diganti Hishammuddin pada Mei 2013 hingga Mei 2018. 

Pada 17 Mei 2019, sejumlah 14 laporan dibuat oleh pegawai khas menteri pertahanan Mohamad Sabu, Mohd Nasaie Ismai.

Perjanjian itu berlaku sekitar tahun 1990-an dan diluluskan di bawah rejim Barisan Nasional yang lalu.

Laporan dibuat selepas Kementerian Pertahanan (Kementah) mengeluarkan laporan audit khas ke-16 berhubung pertukaran tanah, termasuk pembinaan kem tentera di kawasan Parlimen tertentu untuk menambah undi bagi ahli politik Umno tertentu.

Ini dilakukan sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 tahun (PRU14) lalu yang menyaksikan ribuan anggota dan ahli keluarga mereka dipindahkan ke kem baru.

Sebagai maklum balas kepada audit Kementah, Hishammuddin berkata beliau mengalu-alukan siasatan itu, sambil menambah beliau akan mengemukakan laporan sendiri kepada SPRM.

Beliau menegaskan perjanjian itu melibatkan tanah di Plentong dan Tebrau, Johor, di mana kementerian sebelum ini menyaman pemaju sebanyak RM1.48 bilion.

Beliau tidak memberi respons secara langsung kepada hasil laporan audit bahawa salah seorang bekas pembantunya didakwa menggunakan pengaruh untuk memastikan kem tentera dibina di Paloh, kerusi negeri di kawasan Parlimen Sembrong dipegang Hishammuddin, untuk menaikkan undinya dalam PRU14.

Audit itu dijalankan oleh bekas ketua audit negara Ambrin Buang, yang dilantik oleh Pakatan Harapan untuk meneliti perjanjian meragukan yang diluluskan oleh pentadbiran terdahulu, bermula dengan Kementah.

Di bawah sistem pertukaran tanah, Putrajaya menswastakan tanah kerajaan sebagai pertukaran untuk pembinaan kemudahan kerajaan.

Empat kem itu dibina untuk mengalihkan pengundi tentera yang berada di Bera, Segamat, Paloh dan Hutan Melintang. – 21 Jun, 2019.

Iklan
Iklan