Dakwaan ‘Sarawak akan muflis’, Guan Eng berdiam diri
Iklan
MENTERI Kewangan Lim Guan Eng malam tadi enggan menjawab soalan berkaitan dakwaannya bahawa peruntukan tahunan Sarawak mencecah berbilion ringgit akan membuatkan negeri itu muflis dalam tempoh tiga tahun lagi.
Lim yang juga setiausaha agung DAP, sebelum itu dalam ucapannya di majlis “Sarawak! Here we come” di Kucing berkata, jika belanjawan tahunan Sarawak kekal sebanyak RM11 bilion untuk tiga tahun lagi, ia boleh menghabiskan rizab negeri mencecah RM30 bilion.
“Ia matematik mudah (dan) saya hanya guna analogi,” jawabnya ringkas kepada pertanyaan wartawan selepas majlis tamat.
Ditanya tentang maksudnya yang kerajaan persekutuan tidak akan menerima hak Sarawak untuk mengenakan cukai jualan sebanyak 5% kepada produk petroleum yang dijual di negeri itu, Lim tidak menjawab dan hanya berlalu pergi.
Sarawak sudah mengenakan cukai itu yang dibenarkan di bawah Jadual 10, Bahagian V (7) Perlembagaan Persekutuan bermula 1 Januari lalu.
Cukai petroleum itu dianggarkan bernilai RM3.89 bilion, atau 37% daripada jumlah keseluruhan pendapatan Sarawak tahun ini sebanyak RM10.51 bilion.
Ketua Menteri Abang Johari Openg memberitahu wakil rakyat ketika pembentangan belanjawan pada November yang negeri tidak akan menggunakan rizab negeri sebanyak RM30 bilion.
Dalam ucapannya malam tadi, Lim menuduh kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyalahguna ekonomi negeri.
“Dalam tiga tahun tiada apa yang tinggal. Sarawak akan jadi seperti Kelantan, merayu duit daripada kerajaan persekutuan,” katanya merujuk kepada negeri diterajui PAS itu yang memohon RM20 juta dari Putrajaya untuk membayar gaji kakitangan awam.
“GPS dan PAS tidak tahu urus ekonomi sehingga mereka jatuh muflis.”
Katanya, mustahak untuk DAP “mengajar kerajaan GPS dan menang di Sarawal”. – 22 Jun, 2019.