Iklan

Tanya buat apa ulang-ulang bila PM berhenti, kata Anwar

Timothy Achariam5 years ago22nd Jun 2019Berita
Anwar ibrahim tmikamal 03 (1)
"Persoalan semacam itu bertujuan untuk wujudkan ketegangan," kata Anwar kepada media di Rumah Terbuka Hari Raya Lembah Pantai hari ini. – Gambar fail The Malaysian Insight, 19 Jun, 2019.
Iklan

SOALAN berulang-ulang tentang peralihan kuasa perdana menteri, kata Anwar Ibrahim, hanya akan menyebabkan ketegangan antara beliau dengan Dr Mahathir Mohamad.

“Tak boleh nak tanya perdana menteri yang memegang jawatan tentang peralihan (kuasa)... kita ada persefahaman yang kita bincang setiap minggu.

“Saya puas hati dengan pertemuan saya bersama Dr Mahathir dan bagi saya isu ini selesai.

“Kalau mahu tahu apa yang kami bincangkan, tunggu dan cari.

“Soalan seperti itu hanya bertujuan wujudkan suasana tegang,” katanya ketika ditemui pada majlis jamuan hari raya kawasan parlimen Lembah Pantai di Kuala Lumpur, malam ini.

Dr Mahathir semalam ditanya sekali lagi bila beliau mahu letak jawatan dan menyerah kuasa kepada Anwar, dalam wawancara di Sidang Kemuncak Perniagaan Asean Bloomberg ke-5 di Bangkok.

“Yang pastinya saya tidak akan berlalu meninggalkan (kepimpinan) negara ini dalam keadaan berantakan, seperti yang dilakukan oleh kepimpinan sebelum ini. 

“Jadi saya sedang bekerja keras untuk negara, sedaya upaya, dan diharapkan kita akan dapat membetulkan keadaan dan menyelesaikan semua masalah yang kita warisi (dari kerajaan sebelum ini),” katanya.

Dr Mahathir juga mengulangi ikrar bahawa Anwar adalah penggantinya.

“Saya sudah berjanji, dan saya akan berpegang teguh kepada janji saya,” katanya.

Peralihan kuasa antara Dr Mahathir dan Anwar menjadi isu panas antara pemimpin serta penyokong Bersatu dan PKR, dua parti dalam Pakatan Harapan yang masing-masing mereka ketuai.

Awal bulan ini, Ahli Parlimen Kapar Abdullah Sani Abdul Hamid bertanya bila Dr Mahathir hendak umum tarikh beliau berundur dan serah jawatan kepada Anwar.

Selang dua hari selepas itu, Pengerusi PKR Kedah Johari Abdul berkata masalah di negeri itu boleh selesai jika Anwar jadi Perdana Menteri.

Kenyataan Johari juga dilihat menyinggung anak perdana menteri Mukhriz Mahathir sebagai Menteri Besar Kedah.

Pada 14 Jun lalu, kumpulan aktivis Reformasi 1998 yang menamakan diri Otai Reformasi juga meminta Dr Mahathir menetapkan tarikh Anwar jadi perdana menteri.

Menjelang pilihan raya umum setahun yang lalu, Pakatan Harapan sepakat menamakan Dr Mahathir sebagai perdana menteri dan Anwar bakal penggantinya.

Peralihan itu tidak ditetapkan bila tetapi difahami umum berdasarkan beberapa kenyataan Dr Mahathir sebagai dua tahun selepas PRU14.

Semasa beramah mesra dengan rakyat Malaysia di London pada Oktober tahun lalu, Dr Mahathir secara berjenaka berkata umur persaraan baru ialah 95 tahun. Umurnya ketika itu 93.

Beliau juga pernah berkata dua tahun cukup untuk memulihkan Malaysia, kesan daripada masalah tinggalan Barisan Nasional.  – 22 Jun, 2019.

Iklan
Iklan