ECRL beri kelebihan kepada nelayan dan petani, kata Najib
Iklan
PROJEK Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) bakal memberikan akses pemasaran yang lebih baik kepada petani dan nelayan, kata Perdana Menteri Najib Razak.
Bercakap pada sambutan Hari Peladang, Nelayan dan Penterna Kebangsaan, Najib berkata sistem pengangkutan yang efisien akan memberi kelebihan kepada petani dan nelayan serta mungkin akan menghapuskan orang tengah.
“Ini sesuatu yang mereka (pembangkang) tidak akan cakap,” katanya
Menyindir pembangkang, Najib berkata apabila beliau ke China dan dapatkan pelaburan, beliau dituduh cuba menjual negara.
“Pelaburan RM144 bilion beri keuntungan kepada siapa kalau bukan rakyat Malaysia,” katanya.
Dalam lawatannya ke Beijing pada November tahun lalu, sebanyak 14 perjanjian pelaburan dari China bernilai RM144 bilion ditandatangani.
Najib juga berkata beliau yang bercakap dengan kerajaan China untuk membenarkan eksport durian Malaysia ke negara itu.
“Saya yang meminta China untuk membuka pasarannya kepada kita untuk mengeksport durian kita ke sana. Hari ini durian Musang King berharga lebih RM100 sekilo.
“Saya berjumpa seorang ahli perniagaan SME dan dia beritahu sata permintaannya melebihi bekalan,” kata Najib.
Tahun lalu eksport durian Musang King Malaysia ke China bernilai RM60 juta dan ia disasarkan mencecah RM70 juta tahun ini.
Najib turut mengumumkan peruntukan berjumlah RM7 juta kepada Pertubuhan Peladang Kawasan and Persatuan Nelayan Kawasan. – 28 September, 2017.