Laporan lebuh raya tol tidak cadang ambil alih, kata sumber
Iklan
KERTAS kajian mengenai lebuh raya tol di seluruh Malaysia yang disiapkan oleh Kementerian Kerja Raya (KKR) tidak selari dengan tawaran Kementerian Kewangan untuk kerajaan mengambil alih empat konsesi lebuh raya yang dimiliki kepentingannya oleh Gamuda Berhad, kata sumber di Putrajaya.
Sumber memberitahu, laporan KKR mengenai masa depan lebuh raya tol di seluruh Malaysia itu tidak mencadangkan supaya kerajaan mengambil alih mana-mana konsesi lebuh raya bertol.
Ia sebaliknya mengusulkan mekanisme lain untuk mengurangkan beban tol ke atas pengguna lebuh raya, kata sumber yang maklum tentang kertas kajian.
“Laporan KKR tidak mencadangkan begitu,” kata sumber kepada The Malaysian Insight, namun enggan mendedahkan butiran laporan berkenaan.
The Malaysian Insight difahamkan laporan kajian itu diserahkan kepada Pejabat Perdana Menteri pada 13 Jun baru-baru ini.
Semalam, Menteri Kerja Raya Baru Bian dipetik berkata laporan kajian cadangan pengambilalihan mana-mana lebuh raya sudah diserahkan kepada Jemaah Menteri untuk tindakan lanjut.
“Detail kajian itu kita biar dikeluarkan Kabinet,” katanya, seperti dipetik Bernama.
Beliau juga dipetik berkata keputusan hasil kajian oleh perunding bebas bertauliah itu akan diumumkan dalam masa beberapa minggu lagi.
Jemaah Menteri pada Disember lepas memberi mandat kepada KKR untuk mencadangkan pilihan yang munasabah kepada semua pihak berkepentingan iaitu kerajaan, syarikat konsesi dan pengguna, sebagai penyelesaian muktamad atas isu tol yang membebankan rakyat.
Pada Sabtu lalu, Menteri Kewangan Lim Guan Eng mengesahkan pihaknya membuat tawaran untuk mengambil alih empat lebuh raya tol milik Gamuda Bhd dengan kos RM6.2 bilion.
Empat lebuh raya itu ialah Lebuhraya Shah Alam (Kesas), Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL Barat (Sprint) dan Terowong Smart.
Menurut Lim, pengambilalihan itu akan menjimatkan kerajaan RM5.3 bilion sebagai pampasan tidak menaikkan tol sekiranya konsesi berkenaan kekal kepada Gamuda.
Lim merujuk kenyataan Pejabat Perdana Menteri pada 23 Februari lalu mengumumkan Putrajaya melalui Kementerian Kewangan sudah memulakan rundingan dengan Gamuda untuk mengambil alih konsesi empat lebuh raya yang dipegang majoritinya oleh syarikat itu.
The Malaysian Insight difahamkan Kementerian Kewangan membuat tawaran kepada Gamuda atas saranan sebuah bank pelaburan yang dilantik sebagai penasihat kementerian.
Laporan bank pelaburan itu disiapkan minggu lalu antara 17 hingga 21 Jun, yang salinannya dilihat oleh The Malaysian Insight.
The Malaysian Insight difahamkan Kementerian Kewangan memberi arahan kepada bank pelaburan itu supaya menyegerakan laporannya, selepas laporan KKR siap dan diserahkan kepada perdana menteri pada 13 Jun lalu.
Pada 21 Jun iaitu Jumaat lalu, Gamuda dan Lingkaran Trans Kota Holdings (Litrak) memaklumkan Bursa Malaysia bahawa Syarikat Milik Menteri Kewangan (Diperbadankan) atau MoF Inc sudah membuat tawaran mengambil alih empat konsesi lebuh raya milik mereka.
Sehari selepas itu, Lim memperincikan tawaran tersebut dalam satu kenyataan media. Beliau juga berkata tawaran itu tertakluk kepada kelulusan Jemaah Menteri selain penelitian wajar (due diligence) serta sokongan pemegang saham dan pemiutang syarikat konsesi.
Baru dalam reaksi segera terhadap kenyataan Lim berkata sebarang cadangan pengambilalihan lebuh raya hanya akan diputuskan oleh Jemaah Menteri selepas mengambil kira hasil kajian dan syor daripada kementeriannya.
Semalam, Senator Khairul Azwan Harun mempertikaian tujuan Kementerian Kewangan mahu mengambil alih empat lebuh raya bertol yang katanya seolah-olah nampak lebih menguntungkan Gamuda.
Wartawan veteran A Kadir Jasin juga semalam menggesa kerajaan menyemak semula tawaran Kementerian Kewangan mahu membeli empat lebuh raya bertol milik Gamuda itu. – 26 Jun, 2019.