Sabah teruskan projek empangan Papar
Iklan
SABAH akan meneruskan projek pembinaan empangan hidroelektrik yang menelan kos RM3 bilion di Papar walaupun mendapat bantahan dari pihak berkepentingan.
Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony berkata, reka bentuk empangan itu kini sedang dibuat semula selepas kerajaan negeri pimpinan Warisan memutuskan untuk memindahkan projek itu ke Papar.
Beliau berkata kawasan terpencil bersebelahan Kampung Mandaringin di Papar akan menjadi tapak projek empangan tersebut.
“Kos asalnya sekitar RM2.8 bilion, menjadi RM3 bilion kerana termasuk kos penjanaan elektrik. Empangan ini mampu menghasikan kira-kira 100 kilovolt ampere sebaik saja ia siap dan mampu membekalkan sehingga 100 MLD.
“Selain itu, ia juga akan menyelesaikan masalah bekalan air di kebanyakan daeraj pantai barat terutamanya Papar, Kimanis dan Beaufort, dan juga menambah baik bekalan elektrik di kawasan-kawasan ini,” katanya kepada pemberita semasa lawatan ke tapak empangan semalam.
Kerajaan Warisan pada mulanya merancang empangan dibina di Kampung Bisuang atau Kampung Mandalipau.
Ia asalnya mahu dibina di pinggir daerah Penampang oleh pentadbiran Barisan Nasional.
Projek tersebut ditangguhkan selepas mendapat tentangan dari penduduk kampung dan aktivis alam sekitar. – 26 Jun, 2019.