Iklan

Bersatu mahu tangguh pemilihan parti, kata sumber

The Malaysian Insight5 years ago27th Jun 2019Berita
Tun bersatu001 copy
Bersatu yang diterajui Dr Mahathir Mohamad, Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir dikatakan mahu menangguhkan pemilihan parti. – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2019.
Iklan

BERSATU mahu menangguhkan pemilihan parti untuk menyelesaikan pendaftaran beberapa cawangan di seluruh negara bagi mengelakkan parti berdepan tindakan bubar oleh pendaftar pertubuhan (RoS), kata sumber.

Pemilihan parti yang sepatutnya dilangsungkan tahun ini hendak ditangguhkan bagi memastikan semua cawangan terlibat didaftarkan secara sah mengikut peruntukan Akta Pertubuhan 1966.

“Ada cawangan yang gagal tubuh dalam tempoh tiga bulan selepas RoS beri kelulusan (untuk ditubuhkan),” kata sumber dalaman parti kepada The Malaysian Insight.

Dua sumber lain enggan mengesahkan tetapi tidak juga menafikan, sementara seorang sumber lagi meminta The Malaysia Insight merujuk Akta Pertubuhan 1966.

Seksyen 12(3) Akta Pertubuhan memperuntukkan bahawa cawangan bagi sesebuah pertubuhan hanya boleh ditubuhkan dengan kelulusan pendaftar pertubuhan.

Seksyen 12(6) pula memperuntukkan kelulusan itu hanya berkuat kuasa selama tiga bulan melainkan ada lanjutan masa daripada pendaftar pertubuhan.

The Malaysian Insight difahamkan penangguhan itu sedang dipertimbangkan antara enam hingga 12 bulan. Namun, seorang sumber secara khusus menyebut kemungkinan pemilihan parti tangguh sehingga 18 bulan.

Penangguhan itu perlu dibuat melalui pindaan perlembagaan kerana, tidak seperti parti politik lain, perlembagaan Bersatu tidak menyatakan ruang untuk pemilihan parti ditangguh.

Penangguhan pemilihan parti untuk selesaikan masalah pendaftaran cawangan dan elak parti diambil tindakan oleh Pendaftar Pertubuhan (RoS). – Gambar fail The Malaysian Insight, 27 Jun, 2019.

Perkara 13.3 perlembagaannya menyatakan pimpinan tertingginya harus dipilih dalam perhimpunan agung tahunan setiap tiga tahun sekali.

Pimpinan tertinggi parti terdiri daripada pengerusi, presiden, timbalan presiden, tiga naib presiden dan 15 ahli majlis pimpinan tertinggi.

Perkara 13.4 juga menyatakan maksud sama iaitu ketua pemuda dan ketua wanita serta ahli jawatankuasa tertinggi sayap parti dipilih melalui pemilihan tiga tahun sekali.

Selepas mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi parti pada 28 Mei lalu, Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad mengumumkan parti akan mengadakan perhimpunan agung khas pada 20 Julai untuk meminda perlembagaan.

Katanya, pindaan itu perlu dilakukan kerana terdapat beberapa kekurangan pada perlembagaan Bersatu ketika ini, selain bagi memastikan perjalanan pentadbiran parti yang lebih licin.

Sementara itu, Setiausaha Bersatu Marzuki Yahya ketika dihubungi The Malaysian Insight enggan mengesahkan usaha penangguhan ini tetapi tidak juga menafikannya.

“Kita belum putuskan sama ada mahu tangguh pemilihan parti atau tidak,” kata Marzuki.

Beliau enggan mengulas lanjut cadangan pindaan perlembagaan Bersatu pada perhimpunan agung khas bulan depan.

“Kita akan ada siri jelajah pada Julai untuk dapatkan maklum balas ahli dan menjelaskan pindaan kepada mereka,” katanya.

Bersatu ditubuhkan pada September 2016 antaranya oleh Dr Mahathir bersama-sama Muhyiddin Yassin dan Mukhriz Mahathir yang dipecat daripada Umno lebih kurang tiga bulan sebelumnya.

Muhyiddin adalah presiden Bersatu sementara Mukhriz timbalannya.

Bersatu yang bakal menyambut ulang tahun ketiga September ini belum mengadakan pemilihan sejak penubuhannya. – 27 Jun, 2019.

Iklan
Iklan