Kerajaan Sabah dibidas berhubung projek empangan, Tanjung Aru
Iklan
KUMPULAN alam sekitar dan rakyat Sabah kecewa dengan kerajaan negeri Sabah yang diterajui Warisan kerana meneruskan projek empangan hidroelektrik di Papar dan projek pembangunan di Tanjung Aru yang dimulakan pada era pentadbiran kerajaan Barisan Nasional.
Selain projek empangan Papar yang diumumkan semalam, rakyat Sabah turut mempersoalkan Ketua Menteri Mohd Shafie Apdal berhubung projek Tanjung Aru Eco Development (TAED), kerana kerajaan Pakatan Harapan dan pemimpin Warisan sebelum ini berjanji untuk memansuhkan projek berkenaan pada kempen Pilihan Raya Umum ke 14 lalu.
Pengguna media sosial turut membidas Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Jannie Lasimbang, Senator Adrian Lasimbang. Adun Sabah Terrence Siambun dan Menteri Pertanian dan Industri Makanan Sabah Junz Wong kerana gagal untuk memastikan kerajaan negeri menunaikan janji pilihan raya.
Malah ada yang merasakan mereka dikhianati oleh kerajaan yang diterajui Warisan.
“Jelas sekali projek TAED adalah dimulakan oleh BN dan kini diambil alih Warisan. Ia jelas dinyatakan dalam satu kenyataan media pada Februari 2017 bahawa Warisan akan menghentikan projek berkenaan.
“Warisan tidak menunaikan janji mereka dalam slogan ‘Ubah’ yang mereka bawa. Mereka kembali kepada cara operasi BN. Membuat janji kosong merupakan pengkhianatan besar terhadap rakyat Sabah yang mengundi untuk perubahan,” kata Pengerusi Persatuan Perlindungan Alam Sekitar Sabah (Sepa) Lanash Thanda.
Projek TAED di tepi pantai Kota Kinabalu bernilai RM7 bilion itu akan melibatkan kerja penambakan tanah dan pembinaan beberapa hotel yang memiliki 1,800 bilik serta pembangunan perumahan, taman tema air dan padang golf.
Pada Februari, Shafie mengumumkan untuk menurunkan skala projek berkenaan namun tidak mendedahkan butiran lanjut.
Semalam, Menteri Pembangunan Infrastruktur Sabah Peter Anthony mengumumkan kedua-dua projek TAED dan empangan Papar bernilai RM3 bilion itu akan diteruskan.
Anthony berkata, empangan berkenaan perlu untuk menyalurkan bekalan air kepada penduduk Sabah yang semakin berkembang di pantai barat Sabah, termasuk projek TAED.
Seorang pengguna media sosial, Juliana Johari membidas Wong, yang juga Adun Tanjung Aru yang sebelum ini menyatakan beliau membantah projek TAED.
“Kronisme kini wujud dalam kerajaan baharu dengan bermulanya projek yang kamu bantah sebelum ini,” tulinya pada laman Facebook Wong.
Jannie Lasimbang turut dikritik kerana gagal menghalang projek berkenaan, lebih-lebih lagi beliau sebelum ini merupakan aktivis bersama-sama kumpulan lain untuk membantah pembinaan empangan Papar, yang sebelum ini dikenali sebagai projek empangan Kaiduan.
Sementara itu, Adrian Lasimbang memberitahu The Malaysian Insight, beliau terkejut apabila Anthony mengumumkan projek empangan Papar dan TAED diteruskan.
“Semua pihak mula menyerang kami selepas pengumuman itu, sedangkan kami hanya badan bukan kerajaan, yang membantah projek berkenaan.
“Parti pembangkang akan menggunakan peluang ini untuk menyerang kami apabila projek berkenaan diteruskan. Kami diserang di Facebook dan kumpulan WhatsApp termasuk dari dalam kalangan aktivis kami sendiri.”
Seorang lagi aktivis, Diana Sipail dari Pasukan Khas Empangan Kaiduan berkata, empangan Papar adalah sama sahaja dnegan empangan Kaiduan, hanya nama sahaja ditukar.
Katanya, ia menunjukkan kerajaan cuba mengelirukan rakyat dan mereka tidak cuba menghalang projek berkenaan walaupun terdapat bantahan dari pihak berkepentingan. – 27 Jun, 2019