Kerajaan cuba kelirukan rakyat Sabah dengan 'empangan Papar', kata aktivis
Iklan
TAPAK bagi pembinaan empangan Papar di Kampung Modoringin, Sabah merupakan lokasi yang sama dipilih kerajaan Barisan Nasional sebelum ini, kata aktivis.
Pemimpin aktivis Kaiduan Dam Task Force, Diana Sipail memberitahu The Malaysian Insight, ketika era pentadbiran BN, empangan itu dikenali sebagai empangan Kaiduan.
“Kerajaan hanya cuba kelirukan rakyat. Ia masih tempat yang sama, tapak asal yang dicadangkan untuk empangan Kaiduan,” katanya dan menambah kerajaan negeri kini yang diterajui Warisan hanya mengubah namanya.
“Ini bermakna tiada langsung perubahan bagi pelan asal, walaupun kerajaan sebelum ini berkata mereka akan pindahkan tapak empangan itu.”
Sipail, yang berasal dari Ulu Papar berkata, beliau mengenali tapak Kampung Mondoringin kerana pernah beberapa kali melawat kawasan berkenaan ketika mengadakan bantahan pembinaan empangan Kaiduan sebelum ini.
Beliau juga mengetahui kawasan ladag kelapa sawit yang ditanam oleh pemilik swasta dan kebun getah yang diusahakan Lembaga Getah Sabah berhampiran kawasan yang dikatakan tapak baharu itu.
Menteri Pembangunan Infrasturktur Sabah Peter Anthony pada Selasa mengumumkan tapak baru bagi pembinaan empangan berkenaan - iaitu kawasan terpencil berbukit berhampiran Kampung Mondoringin di Papar.
Projek itu dianggarkan bernilai RM3 bilion dan kini menjadi empangan hidroelektrik, katanya.
Sebelum ini, menteri berkenaan turut mencadangkan tapak di Kampung Bisuang dan Kampung Mandalipau sebelum kembali ke tapak asal.
“Nampaknya, memorandum yang diserahkan kepada Ketua Menteri Shafie Apdal pada 15 April untuk mencari tapak alternatif langsng tidak dipertimbangkan.
“Jadi semua cakap-cakap untuk memindah dan mengurangkan skala projek berkenaan hanya cakap kosong.
“Anthony tidak sepatutnya membuat keputusan itu kerana Laporan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA) masih belum dikeluarkan.
“Sebagai menteri, beliau tidak sepatutnya mengambil tindakan sendiri, beliau perlu dengar pendapat rakyat, pihak berkepentingan, ahli akademik dan pandangan rakan dalam kabinet,” katanya.
Kajian Kaiduan Dam Task Force mendapati, 13 perkampungan yang memiliki 3.292 penduduk akan terjejas akibat pembinaan empangan itu.
Di Penampang, kawasan kamung yang akan terjejas adalah Kampung Longkogunan, Kampung Kalanggaan, Kampung Pongobonon, Kampung Kionop, Kampung Buayan, Kampung Tiku, Kampung Timpayasa, Kampung Babagon Laut dan Kampung Terian.
Di Papar, kampung terlibat adalah Kampung Bisuang, Kampung Kaiduan, Kampung Bolotikon dan Kampung Mandalipau. – 27 Jun, 2019