Putrajaya perlu beri perhatian kepada Orang Asli, kata Jakoa
Iklan
ORANG Asli juga adalah rakyat Malaysia dan hak mereka perlu dipertahankan, kata Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) Prof Dr Juli Edo.
Bagaimanapun, beliau berkata walaupun Orang Asli menerima bantuan daripada kerajaan, namun ia hanyalah bantuan kecil dari kerajaan negeri dan persekutuan.
“Orang Asli juga mempunyai hak dan diberikan kelebihan tetapi tidak diberikan hak. Mereka mendapat peruntukan lebih kecil dan sering dipinggirkan,” katanya.
Juli berkata, selain keperluan dalam isu kesihatan, kerajaan juga perlu memberi perhatian kepada keperluan pendidikan, infrastruktur, peluang pekerjaan, meningkatkan tahap ekonomi dan hak tanah.
“Mereka adalah warga negara ini dan penduduk negeri, mereka berhak untuk mendaatkan hak sama rata seprti orang lain,” katanya.
Beliau turut menjelaskan persepsi umum bahawa Orang Asli tidak mahukan perubahan dan pembangunan adalah salah.
“Kami juga mahukan kemudahan asas, akses kepada pendidikan yang baik dan kemudahan kesihatan, rumah yang baik, peralatan dan kelengkapan…namun semuanya adalah terhad.
“Kami perlu berusaha untuk berikan semua ini kepada mereka agar mereka mendapat kehidupan yang lebih baik,” katanya kepada pemberita pada sesi perbincangan yang diadakan pada Jumaat oleh Center for Malaysian Indigenous Studies berhubung kematian Orang Asli suku Bateq di Kuala Koh, Kelantan.
Beliau berkata, ianya boleh dicapai sekiranya semua pihak bekerjasama. Ini termasuklah persefahaman antara kerajaan negeri dan persekutuan.
“Sekiranya kerajaan negeri dan persekutuan boleh bersetuju maka ia lebih baik,” katanya.
Bercakap tentang 15 anggota suku Bateq yang sudah meninggal dunia di Kelantan, Juli berkata kerajaan menerima keputusan bahawa punca kematian mereka disebabkan wabak campak tetapi masih menunggu keputusan bedah siasat.
Beliau berkata mereka juga sedang menunggu laporan toksikologi dari sungai-sungai berdekatan di Kuala Koh.
“Kami mahu melihat jika ada apa-apa lagi, yang akan dirancang oleh kerajaan (apabila keputusan itu keluar),” katanya.
Turut hadir pada forum itu adalah peguam dan aktivis Siti Kassim yang berkata beliau sedia menyaman mana-mana pihak yang bertanggungjawab terutamanya kerajaan negeri dan persekutuan jika air di Kuala Koh didapati tercemar.
“Jika Orang Asli mahu, saya sedia membantu mereka untuk saman mana-mana pihak yang bertanggungjawab sekiranya air di kawasan itu didapati tercemar.
“Saya tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang ke atas kerajaan negeri atau persekutuan atas kecuaian,” katanya dan menambah meracuni sumber air adalah jenayah di bawah Kanun Prosedur Jenayah.
Pada 16 Jun, mayat 12 Orang Asli Bateq digali semula dari Kg Kuala Koh dan dihantar ke Hospital Gua Musang untuk dibedah siasat.
Seramai 15 penduduk kampung itu meninggal dunia akibat penyakit misteri sejak awal tahun ini.
Kementerian Kesihatan belum mengenal pasti punca kematian 12 Orang Asli berkenaan.
Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad berkata, keputusan bedah siasat dan ujian lain masih belum dikeluarkan.
Menurutnya, bedah siasat yang dijalankan ke atas dua mangsa pertama menunjukkan mereka meninggal dunia akibat jangkitan paru-paru, ketika ia belum disahkan sebagai campak.
Namun ia kemudiannya disahkan punca kematian itu disebabkan wabak campak. – 29 Jun, 2019