Iklan

Usul isytihar harta ahli Parlimen mengikat, kata menteri

Liew vui keong 002
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Kong akan membentangkan usul mahu mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta apabila Dewan Rakyat bersidang lusa untuk mesyuarat kedua penggal kedua Parlimen ke-14. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2019.
Iklan

USUL mahu mewajibkan semua ahli Parlimen mengisytiharkan harta akan jadi mengikat di bawah Peraturan Tetap Parlimen, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri Liew Vui Kong.

Liew, yang menjaga hal ehwal undang-undang, akan membentangkan usul berkenaan apabila Dewan Rakyat bersidang lusa untuk mesyuarat kedua penggal kedua Parlimen ke-14.

“Ya, seperti perintah tetap,” katanya kepada The Malaysian Insight, ditanya sekiranya usul itu nanti mengikat dari segi undang-undang.

“Satu usul akan dikemukakan pada Isnin untuk tujuan itu. Speaker akan menentukan apakah usul dibenar, dan sekiranya diberi kebenaran, ia akan dibuka untuk perbahasan.

“Selepas itu Dewan akan mengundi. Sekiranya usul lulus, ia akan berkuat kuasa serta merta. Satu tempoh waktu akan ditetapkan untuk ahli parlimen berbuat demikian (mengisytiharkan harta).

“Sebarang pelanggaran tertakluk pada hukuman oleh Speaker,” kata Liew.

Pada Khamis, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan usul berkenaan bertujuan mengekang mana-mana ahli Parlimen daripada menggunakan kedudukan dan pengaruh untuk menompokkan kekayaan.

Pada masa ini tiada sebarang peruntukan menuntut ahli Parlimen berbuat demikian, walaupun kerajaan mewajibkan ahli Parlimennya mengisytihar harta kepada agensi anti rasuah.

Semakan di laman web SPRM menunjukkan setakat ini masih ada 11 ahli Parlimen kerajaan yang belum mengisytiharkan harta mereka, sementara 124 sudah berbuat demikian.

Bekas pensyarah undang-undang Universiti Malaya Dr Gurdial Singh Nijar berkata usul itu akan mengikat walaupun tidak diluluskan sebagai akta.

“Ya, tertakluk pada tindakan Parlimen kalau gagal patuh resolusi Parlimen. Sekiranya diluluskan sebagai akta Parlimen, maka akan tertakluk kepada peruntukan undang-undang.

“Parlimen boleh menguatkuasakan keputusannya melalui peraturan dan peraturan tetap,” katanya.

Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad berkata usul berkenaan bertujuan mengekang mana-mana ahli Parlimen daripada menggunakan kedudukan dan pengaruh untuk menompokkan kekayaan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2019.

Ahli Parlimen Kota Bharu Takiyuddin Hassan bagaimanapun berkata beliau tidak fikir usul itu mengikat.

Kerajaan sebaliknya patut meminda Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk mewajibkan ahli parlimen mengisytiharkan harta.

Bagaimanapun katanya PAS tiada bantahan, sambil menekankan bahawa ahli Parlimen parti Islam itu bukannya kaya-raya.

“Bagi ahli Parlimen PAS, tiada masalah. Kita tak ada harta. Tak ada ahli Parlimen kita yang banyak harta.”

Bagaimanapun beliau bertanya apakah ahli keluarga dan saudara mara ahli parlimen perlu juga membuat peristiharan.

Katanya, mereka patut disertakan kerana sesetengah ahli parlimen ada saudara mara yang menguruskan perniagaannya.

Sementara itu, ahli Parlimen Umno yang ditanya The Malaysian Insight juga tidak keberatan untuk mengisytiharkan harta mereka namun mempersoalkan kewajarannya.

“Pada saya kalau minta bentang harta pun tiada masalah. Cumanya usul ini untuk apa? 

“Kita bukan kerajaan, tidak ada kuasa untuk meluluskan apa-apa. Peruntukkan pun kerajaan tidak beri kepada kita sampai hari ini,” kata Ahli Parlimen Lipis Abdul Rahman Mohamad.

“Kita akan merujuk kepada Ketua Pembangkang (Ismail Sabri Yaakob) dan Ketua Whip pembangkang (Mahdzir Khalid), sama ada akan sokong usul ini atau tidak,” tambahnya.

Ahli Parlimen Parit Sulong Noraini Ahmad yang turut mengalu-alukan cadangan tersebut bagaimanapun mahu menelitinya terlebih dahulu.

“Kita tidak tahu apa sebenarnya cadangan tersebut. Kita cuma dengar daripada media,” katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gerik Hasbullah Osman meminta supaya pelaksanaannya nanti tidak seperti mana pengisytiharan harta ahli-ahli parlimen kerajaan sebelum ini yang didakwa dibuat dengan tidak betul.

“Kalau kita tengok pengisytiharan harta yang dibuat oleh ahli Parlimen kerajaan, kita tengok pun nampak tak logik.

“Itu sahaja harta mereka?,” katanya. – 29 Jun, 2019.

Iklan
Iklan