Ahli Parlimen enggan isytihar harta akan kena tindakan disiplin, kata Liew
Iklan
AHLI Parlimen akan dikenakan tindakan disiplin jika enggan mengisytihar harta mereka sekiranya usul mewajibkan mereka berbuat demikian diluluskan di Parlimen, kata Liew Vui Keong.
Menteri yang menjaga hal ehwal undang-undang itu berkata keengganan mereka bererti mereka menghina Parlimen dan akan dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen yang dipengerusikan oleh Speaker Dewan Rakyat.
“Ia (enggan isytihar harta) boleh jadi menghina Parlimen. Speaker boleh rujuk ahli Parlimen kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen untuk mengetahui apa sebab tak mahu isytihar dan kenakan tindakan yang sewajarnya,” katanya pada sidang media hari ini.
Peranan Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen adalah mengurus semua perkara berkenaan disiplin ahli Parlimen dan diberi kuasa untuk mengenakan tindakan disiplin terhadap ahli Parlimen yang melanggar Peraturan Tetap Parlimen.
Beliau berkata memandangkan tiada undang-undang dan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi usul tersebut, maka hukuman yang akan ditentukan oleh Speaker.
“Kalau mereka tak isytihar, Jawatankuasa Hak dan Kebebasan akan mendengar hujah dan alasan mereka.
“Selepas itu, jawatankuasa akan tentukan apakah mereka perlu dikenakan tindakan atau diberi nasihat,” katanya.
Liew juga berkata apabila usul mewajibkan ahli Parlimen mengisytihar harta diluluskan kelak, mereka diberi tempoh tiga bulan untuk berbuat demikian.
Tempoh tersebut adalah mengikut SOP, tambahnya.
Selain ahli Parlimen, Liew berkata senator Dewan Rakyat juga dikehendaki mengisytihar harta mereka jika usul diluluskan.
Terdahulu, Liew berkata beliau akan membentangkan usul berkenaan apabila Dewan Rakyat bersidang lusa untuk mesyuarat kedua penggal kedua Parlimen ke-14.
Liew juga mengesahkan usul berkenaan apabila diluluskan nanti akan jadi mengikat serta merta di bawah Peraturan Tetap Parlimen.
Pada Khamis, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengesahkan usul berkenaan bertujuan mengekang mana-mana ahli Parlimen daripada menggunakan kedudukan dan pengaruh untuk menompokkan kekayaan.
Pada masa ini tiada sebarang peruntukan menuntut ahli Parlimen berbuat demikian, walaupun kerajaan mewajibkan ahli Parlimennya mengisytihar harta kepada agensi anti rasuah.
Semua nama ahli Parlimen yang mengisytiharkan harta mereka dipaparkan di laman web SPRM di https://mydeclaration.sprm.gov.my/.
Semalam, Pengarah Pusat Governans, Integriti dan Antirasuah Nasional (GIACC), Abu Kassim Mohamed mengesahkan semua ahli Parlimen kerajaan sudah mengisytiharkan harta mereka.
Dalam satu wawancara dengan Sinar Harian beliau berkata berdasarkan laporan yang diterima oleh pihaknya tiada seorang pun yang tercicir daripada berbuat demikian. – 29 Jun, 2019. – 29 Jun, 2019.