Iklan

Lebih 50% rakyat boleh mengundi jika turun had usia, kata menteri

Timothy Achariam5 years ago29th Jun 2019Berita
Rantau by election ec preparation 20190412 hasnoor 004
Keseluruhan jumlah pengundi akan menjadi lebih 50% populasi iaitu 18.8 juta daripada 32 juta penduduk di negara ini, kata Liew Vui Keong. – Gambar fail The Malaysian Insight, 29 Jun, 2019.
Iklan

LANGKAH menurunkan usia mengundi kepada 18 tahun daripada 21 tahun akan meningkatkan jumlah pengundi lebih 50% daripada populasi penduduk negara ini, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri,  Liew Vui Keong.

“Jika Pakatan Harapan melengkapkan satu penggal selama lima tahun, kita akan mempunyai tambahan 3.8 juta pengundi kepada 15 pengundi yang berdaftar jika pilihan raya diadakan pada 2023.

“Keseluruhan jumlah pengundi akan menjadi lebih 50% populasi iaitu 18.8 juta daripada 32 juta penduduk di negara ini,” katanya pada sidang media di Petaling Jaya hari ini.

Liew akan membentangkan usul untuk menurunkan usia pengundi pada sidang kedua Parlimen yang bermula Isnin ini.

“Ini merupakan perkembangan bersejarah paling penting sejak Merdeka,” katanya.

Beliau menggesa semua Ahli Parlimen PH untuk hadir pada sesi Dewan Rakyat apabila sidang bermula Isnin ini memandangkan kerajaan perlu majoriti dua pertiga bagi meminda Perlembagaan.

PH dan sekutunya, Parti Warisan Sabah dan Upko mempunyai 139 undi secara keseluruhan, tetapi masih kurang sembilan undi untuk mencapai majoriti dua pertiga.

Beliau juga menggesa Ahli Parlimen pembangkang dan bebas untuk menilai kebaikan rang undang-undang itu dan menyokongnya.

“Kami berharap Barisan Nasional, PAS dan Gabungan Parti Sarawak dan bebas dapat mengundi untuk meluluskan usul ini,” katanya.

Jika Malaysia meluluskan undang-undang ini, Singapura akan kekal sebagai satu-satunya negara di Asia Tenggara yang hanya membenarkan rakyatnya berusia 21 tahun ke atas untuk mengundi.

Negara-negara lain di rantau ini menetapkan usia 18 tahun untuk mengundi manakala Indonesia membenarkan rakyatnya berusia 17 tahun untuk mengundi.

Malaysia masih jauh ketinggalan berbanding 90% negara-negara lain di seluruh dunia yang membenarkan usia 18 tahun untuk mengundi.

Sesetengah negara menetapkan usia 16 tahun untuk mengundi. – 29 Jun, 2019.

Iklan
Iklan