Zahid umum kembali bertugas presiden Umno
Iklan
AHMAD Zahid Hamidi hari ini mengumumkan beliau menamatkan cuti dan mengambil alih jawatannya kembali sebagai presiden Umno yang berkuatkuasa serta merta.
Zahid berkata beliau adalah presiden parti yang dipilih dan bukan dilantik.
“Saya tidak sanggup lagi melihat rakyat ditipu dan dihina.
“Mulai hari ini, saya secara rasminya akan menyambung tugas saya sebagai presiden Umno,” katanya.
Beliau melepaskan jawatan tertinggi dipegangnya itu selama enam bulan dan menyerahkan ia kepada Timbalan Presiden Mohahamd Hasan untuk melaksanakan tanggungjawab presiden.
Bekas timbalan perdana menteri itu membuat pengumuman pada majlis Aidilfitri di Sungai Sumun di Perak.
Hari ini juga merupakan ulang tahun pertama beliau dipilih sebagai presiden parti.
Zahid bercuti pada 18 Disember tahun lalu susulan tuduhan beliau tidak dapat memimpin parti dalam menangani pembelotan pemimpin dan wakil rakyat.
Beliau juga berdepan 87 kes pertuduhan jenayah bagi kes rasuah, pengubahan wang haram dan pecah amanah.
Dilaporkan sebelum ini Zahid mendapat maklum balas dari akar umbi sebelum kembali menjalankan tugasnya sebagai presiden.
Semalam, bekas presiden parti Najib Razak berkata Zahid tidak memerlukan kelulusan Majlis Tertinggi Umno untuk meneruskan tugasnya sebagai presiden parti.
Beliau berkata perlembagaan parti menyatakan Zahid masih menjadi ketua parti kerana beliau dipilih untuk jawatan itu.
“Zahid membuat keputusan sendiri untuk pergi cuti. Terserah kepadanya sama ada beliau mahu kembali. Tetapi menurut perlembagaan parti, beliau mempunyai hak untuk memimpin sebagaimana diberi mandat untuk melakukannya.
“Soal beliau hendak kembali bertugas adalah tertakluk kepada dirinya sendiri, tidak perlu persetujuan Majlis Tertinggi Umno,” katanya selepas sambutan rumah terbuka Aidilfitri di Shah Alam.
Minggu ini, Zahid dihadapkan dengan 40 pertuduhan jenayah rasuah tambahan menjadikan keseluruhannya 87 kes termasuk melibatkan pertuduhan pecah amanah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram.
Beberapa kesnya akan mula dibicarakan bermula 18 November ini.
Zahid menyerahkan tugas kepada Mohamad pada 18 Disember lalu dengan alasan memenuhi harapan ahli parti yang mahu pimpinan menterjemah hala tuju sesuai dengan slogan baharu “Umno Bangkit’.
Pengerusi Jemaah Penasihat Umno, Tengku Razaleigh Hamzah menyifatkan tindakan Zahid itu tidak wajar.
Kata Tengku Razaleigh, tugas presiden Umno tiada cuti. – 30 Jun, 2019.